Datuk Nizam menerima cenderahati daripada Chester Pang, disaksikan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur, serta delegasi KREATIF SABAH.
KOTA KINABALU: Penggiat seni dan kreatif Sabah diseru bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan ekosistem ekonomi kreatif yang berdaya saing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada golongan belia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata industri budaya dan kreatif berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu menerusi penghasilan karya, kandungan kreatif, inovasi digital, seni persembahan, perfileman, muzik dan pembangunan harta intelek.
Beliau berkata, industri budaya dan kreatif Malaysia menyumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara pada 2024, bersamaan 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Eksport produk kreatif pula mencecah RM63 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini membuktikan ekonomi kreatif bukan sekadar berkaitan seni dan hiburan, tetapi mempunyai nilai ekonomi yang besar dalam menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta membuka peluang pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pembangunannya memerlukan perancangan tersusun dan kerjasama kerajaan, persatuan, penggiat serta pihak swasta. Pandangan penggiat penting untuk memahami keperluan sebenar sektor ini dan mengenal pasti ruang bagi bakat serta karya anak Sabah berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini semalam.
Dalam pertemuan itu, delegasi berkenaan membentangkan fungsi, aktiviti, keahlian dan hala tuju gabungan berkenaan sebagai platform menyatukan persatuan seni dan kreatif di Sabah, selain menjadi penghubung antara penggiat industri dengan kerajaan negeri.
KREATIF SABAH turut mengemukakan cadangan penubuhan Hab Kreatif Tawau (Tawau C-Hub) dan penganjuran Townhall Penggiat Seni dan Kreatif Sabah.
Tawau C-Hub dicadangkan sebagai ruang untuk menyokong penghasilan karya, pembangunan bakat, latihan, kolaborasi, keusahawanan dan pemasaran produk kreatif. Townhall pula bertujuan menghimpunkan penggiat industri serta pihak berkepentingan bagi membincangkan cabaran, keperluan dan peluang pembangunan sektor berkenaan.
Chester turut membentangkan Memorandum Cadangan Tujuh Perkara Kreatif Sabah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Pertama KREATIF SABAH, Julai lalu.
Antara cadangan dalam memorandum itu ialah memperkukuh penyelarasan pentadbiran ekonomi kreatif di bawah satu kementerian, mewujudkan hab kreatif atau pusat sehenti, mengutamakan penglibatan artis dan penggiat kreatif tempatan dalam program rasmi kerajaan negeri serta melibatkan mereka dalam penggubalan dasar berkaitan.
Memorandum itu turut menyentuh usaha memperkemas penguatkuasaan permit bagi melindungi kepentingan seniman dan karyawan tempatan, di samping memelihara serta membangunkan khazanah seni dan kreatif Sabah.
Nizam berkata, pandangan dan cadangan KREATIF SABAH boleh diteliti dalam perancangan pembangunan ekonomi kreatif negeri, manakala aspek penyelarasan perlu diperhalusi dengan mengambil kira fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan.
Katanya, pembangunan portfolio Ekonomi Kreatif memerlukan perancangan teliti dari segi keutamaan program, peruntukan dan kaedah pelaksanaan.
“Sebarang cadangan perlu diteliti berdasarkan kesesuaian, keutamaan semasa, kemampuan kewangan dan proses kelulusan berkaitan,” katanya.
Beliau turut berbangga dengan pencapaian belia Sabah, termasuk atlet Muay Thai, Emmabell Cassandra, yang menjuarai kategori wanita dalam pertandingan Byon Combat Showbiz 7.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan bakat anak muda Sabah berpotensi berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk pembinaan jenama peribadi dan penciptaan kandungan digital yang boleh membuka peluang ekonomi baharu.
“Dengan bimbingan, sokongan dan ekosistem yang sesuai, bakat dalam bidang seni, sukan serta kandungan digital boleh dikembangkan menjadi kerjaya berdaya maju dan menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya.



