ADVERTISEMENTspot_img

PGRS DESAK HAK 40 PERATUS SABAH DISELESAIKAN SEGERA

Nizam

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyokong pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, supaya tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan diselesaikan segera.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata, tuntutan berkenaan bukan perkara baharu atau permintaan berasaskan ihsan, sebaliknya merupakan hak Sabah yang perlu dilaksanakan secara adil, konsisten dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah diterjemahkan kepada penyelesaian konkrit yang memberi manfaat kepada rakyat.

“PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.

“Namun, bayaran interim ini tidak menutup atau menggantikan tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nizam berkata PGRS turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat kerana suara kedua-dua negeri itu perlu mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam institusi Parlimen.

Menurutnya, usaha mempercepatkan proses Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta penyelesaian perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63 juga perlu diteruskan secara bersungguh-sungguh.

“Semua perkara ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta keupayaan negeri menentukan dan mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan,” katanya.

Nizam berkata pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini jelas, iaitu tegas dalam mempertahankan hak Sabah tetapi pada masa sama mengutamakan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi mencapai penyelesaian konkrit.

Katanya, pendekatan itu telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga semua perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.

“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN