ADVERTISEMENTspot_img

PAMS PERKASA KEBAJIKAN MASYARAKAT, SANTUNI ASNAF DAN PESAKIT DI BATU KAWA

PRIHATIN……Ziarah kasih menyantuni seorang pesakit terlantar, sambil menghulurkan bantuan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga.

  1. Oleh Salwah Aramat

BATU KAWA, Sarawak: Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS) terus memperkukuh usaha kebajikan masyarakat menerusi Program Penyerahan Bantuan kepada golongan asnaf dan pesakit di kawasan Batu Kawa, di sini.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif PAMS untuk memastikan golongan yang berdepan kesukaran, khususnya dari aspek kewangan dan kesihatan, terus mendapat perhatian serta sokongan sewajarnya.

Presiden PAMS Dr Ikeram Yan berkata bantuan yang disampaikan diharap dapat membantu meringankan beban penerima, selain menjadi tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang sedang melalui cabaran kehidupan.

Beliau turut menyertai program berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada penerima yang dikenal pasti terdiri daripada golongan asnaf dan pesakit.

Turut hadir Naib Presiden merangkap Pengerusi Kebajikan PAMS Jumania Hamdan serta wakil Koperasi PAMS Dr Mas Manis Sua.

PAMS dalam kenyataannya berkata pendekatan kebajikan secara langsung seperti itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi material, malah membantu memperkukuh hubungan antara pertubuhan berkenaan dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen PAMS untuk melaksanakan program kebajikan secara lebih dekat dan bersasar, terutama dalam mengenal pasti keperluan golongan rentan.

“Semangat prihatin dan budaya saling membantu perlu terus dipupuk dalam masyarakat, khususnya ketika sebahagian golongan berdepan cabaran ekonomi dan sosial yang boleh memberi kesan kepada kehidupan mereka,” menurut kenyataan itu.

PAMS turut menegaskan bahawa pertubuhan masyarakat mempunyai peranan penting dalam melengkapi usaha kebajikan sedia ada dengan memastikan bantuan dapat disampaikan secara terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi PAMS untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, bersatu dan sejahtera.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN