Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan di restoran berkenaan.
LABUAN: Sebuah premis makanan laut di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atau KPDN Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan aduan pengguna yang membawa kepada pemeriksaan KPDN di premis berkenaan, sekitar 7.00 malam kelmarin.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati harga bagi menu makanan laut yang ditawarkan tidak dipamerkan dalam buku menu yang disediakan kepada pelanggan.
” Kesalahan itu merupakan ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000.
Tambahnya, KPDN Labuan mengingatkan peniaga supaya mempamerkan harga barangan atau caj perkhidmatan dengan jelas bagi membolehkan pengguna mengetahui harga sebelum membuat pembelian.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan aduan sekiranya mengesan sebarang ketidakpatuhan.



