TERBAIK……..Para jemputan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat.
Oleh: Salwah Aramat
SEMATAN: Program Aerodance sempena Zero Waste Village Campaign 2026 di Waterfront Pasar Sematan, baru-baru ini, bukan sahaja menyemarakkan aktiviti kecergasan masyarakat setempat, malah membawa mesej penting mengenai amalan kelestarian alam sekitar.
Program yang bermula seawal 7 pagi itu menghimpunkan penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, kemasyarakatan dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
Aktiviti aerodance menjadi antara pengisian utama apabila peserta mengambil bahagian dalam senaman berkumpulan dalam suasana meriah dan penuh bertenaga.
Penganjuran itu turut menekankan bahawa aktiviti fizikal bukan semata-mata bertujuan menurunkan berat badan, sebaliknya penting dalam meningkatkan kecergasan, kesihatan serta kesejahteraan diri.
Selain aktiviti kecergasan, program berkenaan turut menyediakan saringan kesihatan bagi membolehkan masyarakat mendapatkan pemeriksaan asas dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga tahap kesihatan.
Pengunjung juga berpeluang menyokong ekonomi setempat menerusi jualan komuniti zon yang menyediakan ruang kepada penduduk mengetengahkan pelbagai barangan dan produk masing-masing.
Dalam aspek kelestarian pula, kempen berkenaan mengetengahkan amalan guna semula menerusi aktiviti pembelian barangan terpakai serta jualan minyak masak terpakai, selaras usaha mengurangkan pembaziran dan jumlah sisa yang dihantar untuk pelupusan.

TEKUN……..Seramai 16 peserta kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena majlis tersebut.
Kanak-kanak turut diberi ruang menyertai pertandingan mewarna, manakala cabutan bertuah menambahkan kemeriahan program dengan menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung.
Majlis penangguhan program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak N.03 Tanjung Datu, Haji Azizul Annuar Pehin Seri Adnan Satem.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail; Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail; Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Lundu Aishah Latif; Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sematan Pemanca Jumadi Sabian; Penghulu Ag. Helmi Ag. Panji; ketua-ketua masyarakat serta ahli-ahli JKKK.
Penganjuran Zero Waste Village Campaign 2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui amalan mengurangkan sisa, menggunakan semula barangan dan mengurus bahan buangan secara lebih bertanggungjawab.
Program itu turut membuktikan usaha memupuk kelestarian alam sekitar boleh digabungkan dengan aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan bagi membentuk komuniti yang lebih aktif, sihat, prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.



