ADVERTISEMENTspot_img

Ewon, Donald kekal teraju UPKO, sayap parti tampil kepimpinan baharu

Ewon dan Donald

PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick kekal menerajui Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Presiden, manakala Datuk Donald Peter Mojuntin terus memegang jawatan Timbalan Presiden selepas kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.

Turut dipilih tanpa pertandingan ialah lima Naib Presiden iaitu Jairaiaz Joseph, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, Datuk Basari Sarikun dan Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu.

Ewon ketika menyampaikan ucapan penggulungan berkata, beliau menghormati amalan demokrasi serta keputusan yang dibuat para perwakilan dalam pemilihan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang terpilih, selain menyifatkan keputusan pemilihan itu sebagai usaha untuk terus mengukuhkan parti.

“Pemilihan ini seharusnya mengukuhkan parti kita, bukan melemahkan parti. Semua ahli parti kita merupakan keluarga besar UPKO,” katanya.

Ewon berkata, enam usul yang dibawa dalam persidangan turut diluluskan, dan dibahaskan para perwakilan.

Katanya, barisan kepimpinan baharu bertanggungjawab menyampaikan resolusi parti kepada pimpinan kerajaan, khususnya Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Pimpinan dan wakil-wakil rakyat UPKO juga akan mengangkat pendirian serta resolusi parti untuk dibawa dalam perbahasan di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Ewon berkata, sebagai anggota Kabinet Sabah, beliau mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan pendirian serta keputusan parti dalam kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata UPKO akan terus melaksanakan penambahbaikan terhadap struktur parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Biro-Biro, CLC dan bahagian-bahagian di seluruh negara.

“Kita sedang mempersiapkan parti, bukan untuk pilihan raya semata-mata, tetapi bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan memberikan khidmat terbaik kepada negara, negeri Sabah serta rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Ewon dan Donald bergambar bersama barisan kepimpinan baharu UPKO.

Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan UPKO sebuah parti yang inklusif dengan memberikan ruang dan peranan kepada ahli daripada pelbagai wilayah, bahagian, agama dan etnik di Sabah.

“Matlamat kita adalah menjadikan parti ini terus berkhidmat dan berjuang demi rakyat, negeri dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beberapa sayap UPKO menyaksikan perubahan kepimpinan menerusi proses pemilihan.

Carlye Lajimin dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UPKO yang baharu, manakala Newbaxter Tibin dipilih sebagai Timbalan Ketua.

Carlye sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda UPKO Pusat, menggantikan Felix Joseph Saang bagi menerajui pergerakan itu untuk penggal baharu.

Bagi Pergerakan Wanita UPKO pula, Mohina Sidom kekal sebagai Ketua selepas berjaya mempertahankan jawatannya, manakala Lomiti Jahan dipilih sebagai Timbalan Ketua.

Sementara itu, Pergerakan Generasi Muda UPKO turut tampil dengan kepimpinan baharu apabila Emmanuel Atin dipilih sebagai Ketua, menggantikan Seheral Linus.

Alison Chan pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Generasi Muda, menggantikan Russell Flavian.

Seheral dan Russell memberikan laluan kepada barisan kepimpinan baharu untuk menerajui Pergerakan Generasi Muda UPKO bagi penggal akan datang.

Perubahan kepimpinan di peringkat sayap parti itu memberi ruang kepada barisan pemimpin baharu untuk membawa pendekatan dan agenda masing-masing, selaras dengan keperluan parti serta golongan muda di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN