ADVERTISEMENTspot_img

SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Perkasa Ilmu, Kemahiran Pelajar

Jainisah (tengah) bergambar kenangan bersama peserta dan tetamu yang hadir pada majlis tersebu

TUARAN : Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah memperkasa ilmu pengetahuan, kemahiran serta semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.


Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta menerusi pelbagai aktiviti berkaitan kepimpinan, komunikasi, pengurusan acara, pengucapan awam, Mobile Journalism (MOJO) serta kenegaraan dan patriotisme.


“Program selama tiga hari yang bermula sejak Jumaat lalu diharap memberi impak positif kepada pelajar dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan semangat patriotisme.


“Tahniah diucapkan kerana berjaya menguruskan majlis sejak mula saya melangkahkan kaki ke dalam dewan hasil daripada bimbingan pegawai-pegawai Penerangan.


“Saya percaya ini adalah hasil daripada apa yang adik-adik pelajari sepanjang tiga hari berkursus di sini.


“Kami di JAPEN juga mengharapkan melalui Kelab Malaysiaku, kita dapat memupuk semangat patriotik dalam diri adik-adik semua, selain kemahiran dan ilmu pengetahuan,” katanya ketika berucap merasmikan Program SKILLBOX@Ke Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan di Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, pada Ahad.


Jainisah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas kerjasama yang diberikan dengan membenarkan sekolah-sekolah menghantar peserta mengikuti kursus berkenaan.


Sementara itu, peserta program dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammad Hazim Edy berkata, kursus anjuran JAPEN itu menjadi platform terbaik untuk memberi nilai tambah dari aspek kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan belia.


“Program ini sangat menyeronokkan kerana aktiviti yang disediakan amat bermanfaat seperti modul bina jati diri dan MOJO yang memberi ilmu baharu kepada saya dan rakan-rakan.


“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperbanyakkan lagi agar belia seperti kami mendapat ilmu yang bermanfaat dan seterusnya membentuk diri kami ke arah yang lebih baik,” ujarnya.


Seramai 120 pelajar menyertai program berkenaan yang merangkumi pelbagai pengisian antaranya Modul Kepimpinan dan Jati Diri, Eksplorasi Kepimpinan, Digital Race, Modul Komunikasi, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam, Kesenian dan Kebudayaan, MOJO serta Modul Kenegaraan dan Patriotisme.


Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 yang menggamatkan suasana dewan menerusi nyanyian lagu patriotik serta kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah.


Hadir sama, Penolong Pesuruhjaya RELA, Mohd Rosdin Daming, Pengurus Besar Perniagaan TM Sabah, Sahrimin Mohd Iman dan Timbalan Pengarah Penerangan, Azman Sipan./Penerangan


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN