ADVERTISEMENTspot_img

Penguatkuasaan parkir perlu tegas, tetapi munasabah – YPNM Sabah

David

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memastikan penguatkuasaan peraturan parkir dilaksanakan secara munasabah, profesional dan beretika, khususnya dalam kes yang membabitkan kelewatan bayaran hanya dalam tempoh beberapa saat.

Pengerusinya, David Chan berkata penguatkuasaan peraturan parkir sememangnya penting bagi memastikan pematuhan pengguna, namun ia perlu diseimbangkan dengan prinsip keadilan, kewajaran dan budi bicara dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata gesaan itu susulan laporan media mengenai seorang pengguna yang didakwa dikenakan kompaun ketika sedang membuat bayaran parkir menerusi aplikasi Sabah Smart Parking (SSP), dengan perbezaan masa antara kompaun dikeluarkan dan bayaran diterima dilaporkan hanya sekitar 51 saat.

“YPNM menghormati kuasa DBKK dalam melaksanakan penguatkuasaan dan mengakui setiap pengguna bertanggungjawab membayar caj parkir yang ditetapkan.

“Namun, penguatkuasaan bukan semata-mata berkaitan pengeluaran kompaun, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan sebenar sesuatu kes serta memastikan tindakan yang diambil adalah adil dan wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

David berkata sekiranya pengguna dapat mengemukakan bukti munasabah bahawa proses pembayaran telah dimulakan, khususnya apabila perbezaan masa hanya beberapa saat, pihak berkuasa wajar mempertimbangkan penggunaan budi bicara sebelum tindakan kompaun dikenakan.

Menurutnya, petugas penguat kuasa juga perlu mengelakkan pendekatan terlalu rigid yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna, sebaliknya menjalankan tanggungjawab secara profesional dan berhemah.

Pada masa sama, YPNM mengambil maklum penjelasan DBKK Holdings bahawa prosedur penguatkuasaan melibatkan semakan status bayaran, pengambilan gambar sebagai bukti serta pengeluaran kompaun mengikut prosedur operasi yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan DBKK menyediakan mekanisme rayuan dan semakan yang mudah, telus serta adil bagi membolehkan pengguna mengemukakan bukti sekiranya berlaku keadaan luar biasa.

“DBKK juga wajar meneliti kemungkinan memperkenalkan tempoh kelonggaran yang munasabah, terutama bagi kes pengguna yang boleh membuktikan bahawa proses pembayaran melalui aplikasi rasmi telah dimulakan,” katanya.

David berkata penggunaan teknologi dalam sistem parkir sepatutnya memudahkan urusan pengguna dan meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, bukannya menghapuskan unsur pertimbangan manusia dalam penyelesaian kes tertentu.

Beliau turut menggesa semua petugas penguat kuasa parkir supaya sentiasa mengamalkan sikap sopan, profesional dan beretika ketika berurusan dengan orang ramai, termasuk memberi ruang kepada pengguna yang mempunyai pertikaian tulen untuk mengemukakan bukti dan mendapatkan semakan.

“Penguatkuasaan perlu tegas terhadap mereka yang sengaja melanggar peraturan, namun pada masa sama adil kepada pengguna yang benar-benar berniat mematuhi peraturan.

“Kuasa yang diberikan hendaklah digunakan secara bertanggungjawab, beretika dan dengan budi bicara yang munasabah,” katanya.










ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN