ADVERTISEMENTspot_img

Polis Penampang Nafi Infografik Tangkapan Kes Khianat, Sahkan Kandungan Palsu

PALSU …Infografik yang tular menggunakan logo PDRM

PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penerbitan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang tular di pelbagai platform media sosial sejak hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh PDRM.

Beliau berkata kandungan tersebut menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian yang menyerupai bahan rasmi polis serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai.

“Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau implikasi lain yang timbul akibat penyebaran infografik palsu tersebut.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa mana-mana individu yang terlibat dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik.

Selain itu, katanya, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] turut boleh digunakan sekiranya penyebaran berkenaan melibatkan gambar, identiti atau maklumat kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya dan hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu ini diminta menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN