Anggota APPM ketika mengesan nelayan yang dilaporkan hilang.
LABUAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memasang pukat ikan di perairan Pohon Batu/Lubok Temiang, Labuan, awal pagi pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, pihaknya menerima laporan kejadian oleh kapten kapal pada jam 10.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, sedang memasang pukat menggunakan sebuah bot kecil sebelum bot berkenaan ditemui terapung tanpa mangsa di lokasi kejadian.
Usaha mencari oleh kru kapal di sekitar kawasan itu bagaimanapun tidak berjaya sebelum laporan polis dibuat.
Berikutan laporan itu, pihak PDRM menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan membabitkan 10 pegawai serta anggota bagi mengesan mangsa.
Dalam, pada itu, Wan Mohd Firdaus menasihati awam, khususnya nelayan dan pengusaha bot, supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di laut termasuk memakai jaket keselamatan dan mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan.



