ADVERTISEMENTspot_img

Juli Apang Tekad Perkukuh UPKO Sugut, Utamakan Kebajikan dan Pembangunan Rakyat

WATIKAH….Juli (kanan) menerima watikah sebagai ketua CLC Sugut disampaikan Datuk Ewon Benedict, Presiden UPKO di Beluran


PAITAN: Ketua Jawatankuasa Kepimpinan Komuniti (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sugut yang baharu, Juli Apang berikrar memikul amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, selain mengutamakan kebajikan rakyat serta memperjuangkan pembangunan kawasan itu secara menyeluruh.


Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepadanya bukan sekadar satu jawatan, sebaliknya tanggungjawab besar untuk memastikan suara rakyat terus diperjuangkan demi masa depan Sugut yang lebih baik.


Menurutnya, komitmen utama kepimpinannya adalah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, di samping memastikan pembangunan di Sugut dilaksanakan secara terancang dan inklusif tanpa mengabaikan aspek kebajikan masyarakat.


“Saya mahu melihat Sugut terus maju melalui pembangunan yang mampan, namun dalam mengejar kemajuan, keperluan dan kebajikan rakyat tidak akan sesekali dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Juli berkata, seseorang pemimpin perlu berpegang teguh kepada prinsip dan integriti serta sentiasa bersama rakyat bagi memahami keperluan mereka sebelum mengambil sebarang tindakan.


Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat, memperjuangkan suara rakyat serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat kepada penduduk Sugut.


Katanya, semangat kebersamaan antara kepimpinan dan rakyat menjadi asas penting dalam usaha membawa Sugut ke arah pembangunan yang lebih maju, makmur dan berdaya saing.


“Saya merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan. Amanah ini akan saya pikul sebaik mungkin demi masa depan rakyat dan Sugut yang kita cintai,” katanya.


Beliau turut menyeru seluruh masyarakat agar terus berganding bahu dan bergerak seiring dalam membina masa depan Sugut yang lebih cemerlang dengan berpegang kepada prinsip “Amanah Dipikul, Rakyat Diutamakan, Sugut Dimajukan.”

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN