Mohina
KINABATANGAN: Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Pusat, Mohina Ronnie Sidom sekali lagi diberi mandat untuk terus menerajui bahagian Kinabatangan bagi sesi 2026–2029 selepas dipilih semula tanpa dicabar.
Mohina berkata, kepercayaan yang diberikan para perwakilan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (MAT) UPKO Bahagian Kinabatangan bukan sekadar penghormatan, sebaliknya amanah besar untuk terus memperkukuh kedudukan parti di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau juga berikrar untuk terus memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi serta meneruskan perjuangan membela hak serta kepentingan rakyat Sabah.
“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati. Kepercayaan yang diberikan bukan sekadar penghormatan, tetapi satu tanggungjawab dan janji untuk terus mempertahankan perjuangan UPKO di Kinabatangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada MAT UPKO Kinabatangan, di Dewan Sanan Tongod, di sini, semalam.
Turut hadir Presiden Datuk Ewon Benedick, Ahli-ahli Majlis Tertinggi parti, barisan kepimpinan negeri serta para perwakilan dari seluruh Bahagian Kinabatangan.
Terdahulu, selain Mohina selaku Ketua Bahagian, Alsa Sunsing turut mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Bahagian manakala Ketua Pemuda disandang oleh Rayhenson Kayah; Ketua Wanita, Lustina Samir dan Ketua Generasi Muda, Mario Matius.
Turut dilantik Ketua CLC UPKO Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Masdi Masran dan Ketua CLC UPKO DUN Sukau, Nordin Damit.
Mohina berkata, kehadiran Presiden bersama kepimpinan tertinggi parti adalah simbol sokongan berterusan kepada perjuangan UPKO di Kinabatangan.
Katanya, ia mengimbau cabaran yang dilalui parti selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, apabila ramai ahli meninggalkan parti dan keyakinan terhadap masa depan UPKO semakin terhakis.
“Ketika ramai memilih untuk berundur, masih ada pemimpin dan ahli yang kekal mempertahankan perjuangan parti walaupun tanpa kedudukan atau kelebihan politik.
“Parti tidak dibina oleh mereka yang hadir ketika kemenangan, tetapi mereka yang terus bertahan ketika kekalahan. Mereka yang setia pada waktu sukar adalah sebahagian daripada sejarah kebangkitan UPKO,” katanya.
Mohina berkata, sejak diberikan amanah memimpin bahagian itu, kepimpinan UPKO Kinabatangan memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan rakyat melalui pendekatan turun padang, menyantuni masyarakat serta mendengar sendiri suara akar umbi.
Katanya, walaupun keputusan pilihan raya negeri lalu belum memihak kepada parti, prestasi yang ditunjukkan membuktikan UPKO Kinabatangan semakin diterima dan kembali diyakini rakyat.
“UPKO Kinabatangan bukan lagi parti yang sekadar dipandang sebelah mata. Kita mampu berdiri, bersaing dan menjadi pilihan rakyat,” katanya.
Sehubungn itu, Mohina mengingatkan kepada seluruh jentera parti, proses pembaharuan perlu berjalan seiring dengan penghargaan kepada pemimpin serta ahli yang setia mempertahankan perjuangan ketika parti berdepan saat paling mencabar.
“Kita mengalu-alukan pemimpin dan generasi baharu, namun jangan sesekali melupakan mereka yang mempertahankan parti ketika ramai sudah berputus asa.
“Barisan kepimpinan baharu Kinabatangan perlu mengutamakan kepentingan parti dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
“Kita bukan sekadar mempertahankan sebuah parti, tetapi mempertahankan cita-cita untuk melihat Sabah yang lebih maju, memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dan menjadikan semangat ‘Sabah First’ sebagai perjuangan yang diterjemahkan melalui tindakan.
“Marilah kita terus bersatu, menghormati sejarah, menghargai pengorbanan, meraikan tenaga baharu dan bergerak ke hadapan sebagai satu keluarga besar UPKO. Kita bangkit bersama, kita menang bersama dan kita berjuang bersama,” katanya.



