ADVERTISEMENTspot_img

UPKO Penampang lulus usul jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dipertanding

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UPKO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti bagi penggal ini.

Usul yang dibentangkan oleh Ketua Cawangan UPKO Tulung, Felix Sikou itu diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan UPKO Bahagian Penampang di Dewan Ramayah, di sini, hari ini.

Ketika membentangkan usul itu, Felix berkata, cadangan berkenaan bukan bertujuan menafikan amalan demokrasi dalam parti, sebaliknya bagi memastikan UPKO terus kukuh, bersatu dan mampu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17).

Beliau berkata, landskap politik yang sentiasa berubah memerlukan parti mempunyai kepimpinan yang stabil bagi memastikan gerak kerja organisasi tidak terganggu.

“Sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi penggal ini, seluruh kepimpinan dan ahli parti dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuhkan organisasi, memperluaskan sokongan rakyat serta menyusun jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Pada masa yang sama, pertandingan bagi jawatan-jawatan lain masih boleh diteruskan sebagai proses melahirkan pelapis kepimpinan baharu. Ini membuktikan bahawa parti tetap mengamalkan demokrasi dan memberi ruang kepada ahli-ahli untuk menyumbang kepada pembangunan organisasi,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan UPKO Bahagian Penampang itu disempurnakan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Felix berkata, usul itu juga bertujuan memelihara perpaduan dalam parti serta menjamin kesinambungan kepimpinan bagi memperkukuhkan persediaan menghadapi PRU17.

“Perjuangan kita bukan sekadar memilih pemimpin, tetapi memastikan UPKO terus menjadi wadah perjuangan rakyat Sabah yang kukuh, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran politik pada masa hadapan,” tegas beliau.

Dalam mesyuarat sama, perwakilan turut meluluskan usul supaya kepimpinan parti memperjuangkan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Penampang melalui proses persempadanan semula.

Ketika membentangkan usul itu, Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominick, mencadangkan pembentukan Parlimen Kapayan yang baharu merangkumi DUN Bahang dan DUN Ganang, manakala Parlimen Penampang dicadangkan merangkumi DUN Moyog dan DUN Limbanak.

Menurut Billy Joe, pertambahan kerusi diperlukan berikutan peningkatan jumlah penduduk, pembangunan pesat dan peluasan kawasan perbandaran di Penampang, selain diyakini dapat memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang.

“Persempadanan ini perlu kerana Penampang mengalami pertambahan penduduk, pembangunan pesat serta perluasan kawasan perbandaran yang memerlukan representasi politik yang lebih seimbang dan berkesan.

“Dengan pertambahan kerusi Parlimen dan DUN, urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan menjadi lebih mudah kerana setiap wakil rakyat dapat memberi tumpuan kepada kawasan yang lebih kecil dan tersusun,” katanya.

Kedua-dua usul itu disokong oleh Ketua Pemuda UPKO Kampung Babah, Rajani Jojo; Ketua Cawangan UPKO Kampung Sarapung, Gina Chau; Timbalan Ketua Generasi Muda UPKO Penampang, Alex John Gintos; dan Charles Liew dari UPKO Kapayan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN