JALAN ROSAK… Keadaan jalan raya utama di sempadan Kampung Niasan dan Kampung Suminimpod, Ranau yang mengalami kerosakan teruk akibat hujan lebat berterusan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Penduduk di Kampung Niasan dan Kampung Suminimpod di sini melahirkan kebimbangan berikutan kerosakan serius pada jalan utama yang menghubungkan kedua-dua kampung itu selepas dilanda hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini.
Kerosakan tersebut menyebabkan sebahagian jalan mengalami runtuhan, manakala beberapa culvert (kalbut) dihanyutkan arus deras sehingga menjejaskan struktur jalan dan mengundang risiko kepada keselamatan pengguna.
Penduduk berkata, laluan berkenaan merupakan jalan utama yang digunakan setiap hari oleh masyarakat setempat untuk pelbagai urusan, termasuk ke kawasan pertanian, menghantar anak ke sekolah serta berulang-alik ke Pekan Ranau bagi mendapatkan keperluan harian dan memasarkan hasil pertanian.
Menurut mereka, keadaan jalan yang semakin rosak menimbulkan kebimbangan kerana berisiko menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan atau menyebabkan laluan itu terputus.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, pemandu kenderaan ringan serta penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada waktu malam apabila kerosakan jalan sukar dikesan.
Sehubungan itu, penduduk merayu agar pihak berwajib segera menjalankan penilaian terhadap tahap kerosakan dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan, selain menyediakan langkah keselamatan sementara bagi mengurangkan risiko kepada pengguna.
Mereka berharap tindakan segera dapat diambil bagi memulihkan infrastruktur tersebut demi memastikan kelancaran urusan harian masyarakat setempat, termasuk aktiviti pertanian, persekolahan dan pergerakan penduduk ke Pekan Ranau, dapat diteruskan dengan selamat.



