ADVERTISEMENTspot_img

Rowindy Lawrence Odong Cipta Sejarah, Wanita Pertama Terajui UPKO Kimanis

MEMBAKUT: Tokoh wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Rowindy Lawrence Odong, mencipta sejarah apabila dipilih tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian UPKO Kimanis bagi sesi 2026-2029, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui bahagian itu sejak penubuhannya.

Pemilihan tersebut berlangsung sempena Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kimanis di Dewan Ridhuan Homestay di sini hari ini, yang dihadiri perwakilan dan ahli-ahli parti dari seluruh kawasan Parlimen Kimanis.

Kemenangan tanpa pertandingan itu mencerminkan keyakinan serta sokongan padu akar umbi terhadap kepimpinan Rowindy dalam meneruskan agenda perjuangan parti dan memperkukuh organisasi UPKO di kawasan berkenaan.

Mesyuarat agung berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson Angang.

Turut dipilih menganggotai kepimpinan baharu bahagian ialah Chelsiea Japanis sebagai Ketua Wanita, Horris Sintoh sebagai Ketua Pemuda dan Lyendrey Jouraine sebagai Ketua Generasi Muda.

Rowindy bukanlah nama asing dalam landskap politik Sabah dan UPKO, dengan pengalaman memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pusat termasuk Timbalan Ketua Penerangan UPKO, Timbalan Setiausaha Penganjur, Ketua Wanita UPKO Kota Kinabalu, Setiausaha Exco Wanita UPKO serta Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa UPKO Malaysia.

KENANGAN…Rowindy (lima dari kanan), Nelson(tengah) bergambar bersama AMT, AJK Bahagian dan perwakilan UPKO Kimanis

Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Bahagian, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UPKO Kimanis atas kepercayaan yang diberikan, sambil menyifatkan pemilihannya sebagai satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuh jentera parti, memperkasakan keahlian, memperluaskan program pembangunan masyarakat serta memastikan perjuangan parti terus bergerak selaras dengan 17 teras perjuangan UPKO.

Menurutnya, tumpuan turut akan diberikan kepada kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Membakut dan Bongawan, menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berpaksikan keperluan rakyat.

Rowindy berkata beliau komited untuk bekerjasama rapat dengan wakil-wakil rakyat kerajaan sedia ada dalam memperkukuh agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat, selain memastikan suara rakyat di Parlimen Kimanis terus didengari dan diperjuangkan.

Beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan di samping memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif demi kepentingan rakyat.

Pemilihan tanpa pertandingan itu disifatkan sebagai petanda positif terhadap kestabilan, kematangan politik dan perpaduan dalam UPKO Bahagian Kimanis, sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan parti dalam mendepani cabaran politik semasa serta meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN