ADVERTISEMENTspot_img

LELAKI DITAHAN, ROKOK DISYAKI TIDAK BERCUKAI DIRAMPAS DALAM SERBUAN DI RANAU

Rokok ERA…antara jenama rokok disyaki tidak bercukai yang dirampas (gambar oleh IPD Ranau)

RANAU: Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan seorang lelaki serta merampas sejumlah rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam serbuan di sebuah premis perniagaan keperluan harian di daerah ini, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, berkata serbuan itu dijalankan hasil risikan dan pemeriksaan oleh pasukan KDNKA IPD Ranau di premis berkenaan.


“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis terbabit menemukan beberapa kotak rokok yang disyaki tidak bercukai kastam sebelum seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan atau tidak berkastam tanpa kebenaran yang sah.


Beliau berkata IPD Ranau menerusi Bahagian KDNKA akan terus mempergiatkan Op Kontraban melalui rondaan dan pemeriksaan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penjualan barangan tidak bercukai di daerah itu.


“Polis memandang serius sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, khususnya melibatkan barangan kontraban yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan pengguna,” katanya.


Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan atau penjualan barangan tidak bercukai di kawasan masing-masing.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN