RAMPAS.. Cecair ketum yang telah dibotolkan dirampas dalam serbuan di Putatan pada Jumaat lalu
PENAMPANG: Polis menahan seorang wanita tempatan dan merampas sejumlah cecair serta daun disyaki ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, Putatan, pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, berkata serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hasil maklumat risikan.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis menahan seorang wanita berusia 43 tahun dan merampas 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung plastik putih mengandungi dedaun hijau dipercayai daun ketum.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM975. Polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sammy berkata pihak polis tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, khususnya melibatkan penyalahgunaan dadah dan pemprosesan air ketum.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah atau ketum supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan.



