ADVERTISEMENTspot_img

UMS Perkukuh Jaringan Serantau Melalui Perkongsian Kepakaran dalam Pembangunan Komuniti dan Inovasi Digital di Indonesia

Duduk dimeja panjang, Bapak Lurah Badrudin (tengah), Ibu Dwi Handarini (kiri), Ibu Nur Lisa Rahmaningtyas (kanan) dan para peserta di Jakarta.

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif menyumbang kepada pembangunan komuniti di peringkat serantau.

Ia direalisasikan apabila pensyarah daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Sharinah Puasa, dijemput sebagai penceramah utama dalam program pembangunan komuniti anjuran Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Indonesia, yang berlangsung secara atas talian pada Khamis.

Dalam sesi ucaptama yang diadakan pada 18 Jun 2026 jam 10.20 pagi waktu Malaysia, Dr. Sharinah menyampaikan syarahan bertajuk “Community Development and Digital Innovation for Achieving Sustainable Development Goals” kepada komuniti Kampung Melayu, Jakarta, Indonesia.

Program ini memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu pembangunan produk, pengurusan rekod kewangan dan pemasaran bagi memperkasakan komuniti setempat melalui penggunaan teknologi digital.

Dalam ucapannya, Dr. Sharinah menekankan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu menyahut peluang inovasi digital sebagai strategi penting untuk meningkatkan daya saing dan kelestarian perniagaan.

Menurut beliau, transformasi digital yang disokong secara berterusan oleh pihak kerajaan, institusi pendidikan dan agensi berkaitan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti, khususnya PKS.

Beliau turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik pembangunan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia sebagai rujukan kepada komuniti Kampung Melayu, Jakarta.

Perkongsian ilmu merentas negara ini bukan sahaja menyumbang kepada pemindahan pengetahuan dan pengalaman, malah memperkukuhkan hubungan akademik serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia.

Program tersebut turut dihadiri oleh Bapak Lurah Badrudin Kampung Melayu Jakarta, Ibu Nur Lisa Rahmaningtyas dari Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia, wakil-wakil penganjur dari Universitas Negeri Jakarta termasuk Ibu Dwi Handarini dan Pak Surya Anugrah, serta pasukan sekretariat, selain peserta-peserta yang terdiri daripada warga Kampung Melayu.

Jemputan kepada Dr. Sharinah sebagai penceramah utama dalam program berimpak tinggi ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran UMS dalam bidang pembangunan komuniti, keusahawanan dan inovasi digital. Penyertaan UMS dalam program antarabangsa seumpama ini turut meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat serantau serta memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik dan pemindahan ilmu dengan institusi pengajian tinggi luar negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN