ADVERTISEMENTspot_img

UPKO Mohon Sertai GRS, Perkukuh Kerjasama Parti Tempatan Sabah

SERAH PERMOHONAN…Ewon (kanan) menyerahkan permohonan menyertai GRS kepada Hajiji.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen, dalam usaha memperkukuh kerjasama politik tempatan demi pembangunan dan masa depan Sabah.

Presiden Ewon Benedick berkata permohonan itu disampaikan dalam pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut beliau, UPKO berhasrat menyumbang kepada agenda penyatuan parti-parti tempatan Sabah selain memperkukuh perjuangan berkaitan hak-hak negeri seperti termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 serta Perlembagaan Persekutuan.

“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan oleh UPKO adalah bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ewon berkata keputusan untuk memohon menyertai GRS dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lepas yang sebulat suara menyokong langkah berkenaan.

Beliau turut menegaskan kerjasama lebih kukuh antara parti-parti tempatan penting bagi memastikan kestabilan politik negeri serta mempercepat usaha pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN