ADVERTISEMENTspot_img

Pindaan Perlembagaan Perkukuh Struktur PGRS, Kemasukan Ahli Baharu Bukti Keyakinan Terus Meningkat: Nizam

KOTA KINABALU, 18 Mei (Bernama) — Kelulusan usul pindaan Perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh struktur organisasi parti serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja di semua peringkat.

Ketua Penerangan Nizam Abu Bakar Titingan berkata pindaan yang diluluskan dalam Persidangan Agung Khas parti di Sabah International Convention Centre (SICC) itu melibatkan penstrukturan semula daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta Parlimen Labuan.

Beliau berkata penyusunan semula itu bukan sekadar perubahan pentadbiran dalaman, sebaliknya bertujuan memastikan gerak kerja parti lebih tersusun, cekap dan berkesan.

“Penyelarasan bahagian mengikut kawasan Parlimen akan membantu memperkemas koordinasi jentera, mengurangkan pertindihan tugas serta membolehkan pemantauan parti dilaksanakan secara lebih jelas dan berfokus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pindaan berkenaan diyakini mampu memperkukuh kedudukan PGRS sebagai parti tempatan Sabah yang mempunyai hala tuju jelas, disiplin organisasi mantap serta kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Katanya, dalam landskap politik yang sentiasa berubah, parti memerlukan struktur lebih kukuh bagi memastikan setiap keputusan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang pantas dan berkesan di lapangan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyusunan semula itu tidak menafikan jasa serta peranan ahli akar umbi yang selama ini membina kekuatan parti, sebaliknya bertujuan menggabungkan seluruh kekuatan tersebut dalam satu struktur lebih besar dan tersusun demi kestabilan politik serta pembangunan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Rasinin Kautis bersama kira-kira 150 ahli Warisan Liawan menyertai PGRS membuktikan perjuangan parti terus mendapat keyakinan rakyat serta pemimpin akar umbi.

Menurutnya, kemasukan itu juga menunjukkan pendekatan kepimpinan Presiden PGRS, Hajiji Noor yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat terus diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata penyertaan Rasinin bersama barisan kepimpinan Warisan Liawan dijangka menjadi suntikan baharu kepada kekuatan parti khususnya di kawasan Liawan dan pedalaman Sabah.

“Ini bukan sekadar penyertaan politik biasa, tetapi manifestasi keyakinan terhadap hala tuju PGRS sebagai platform tempatan yang mampu memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah secara lebih tersusun, matang dan berkesan,” katanya.

Nizam berkata PGRS akan terus mendukung kepimpinan Hajiji dalam memastikan perjuangan parti kekal berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan kerajaan negeri serta agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PGRS menerima pindaan berkenaan dengan semangat kekeluargaan, disiplin dan kesatuan selain mengalu-alukan penyertaan ahli baharu ke dalam parti.

“Ini masanya untuk kita memperkukuh saf, memperkemas jentera dan terus melangkah sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang matang, tersusun dan bersedia memikul amanah rakyat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN