ADVERTISEMENTspot_img

Pindaan Jumlah Bahagian PGRS Langkah Strategik Perkukuh Gerak Kerja Parti

Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar TitinganKetua PeneranganParti Gagasan Rakyat Sabah

PGRS Cadang Kurangkan Bahagian Kepada 26 Demi Perkukuh Gerak Kerja Parti

KOTA KINABALU: (15 Mei) Cadangan pindaan struktur organisasi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dengan mengurangkan jumlah bahagian daripada 74 kepada 26 disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh gerak kerja parti serta menghadapi cabaran politik semasa dengan lebih tersusun dan berkesan.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pindaan yang akan dibawa dalam Persidangan Agung Khas PGRS di bawah Fasal 16.1 itu bukan sekadar perubahan dari sudut angka, sebaliknya merupakan usaha menyusun semula kekuatan parti supaya lebih fokus dan mudah diselaraskan di semua peringkat.

Menurut beliau, struktur yang lebih kemas akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja selain mempercepat penyampaian arahan kepada jentera akar umbi.

“Dalam keadaan politik yang semakin mencabar ketika ini, parti bukan sahaja memerlukan sokongan besar, tetapi juga organisasi yang tersusun, berdisiplin dan mempunyai penyelarasan yang lebih efektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu juga dilihat mampu memperkukuh perpaduan dalaman parti apabila gerak kerja di setiap kawasan dapat digerakkan secara lebih tersusun dan sebagai satu pasukan.

Katanya, pindaan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mengurangkan peranan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah memperkemaskan kekuatan parti tempatan Sabah itu agar lebih responsif dan dekat dengan rakyat.

Nizam berkata, kekuatan PGRS amat penting dalam memastikan kestabilan GRS dan kerajaan negeri terus diperkukuh.

“PGRS yang lebih tersusun dan kukuh akan turut memperkukuh GRS sebagai gabungan politik tempatan yang menjadi tunjang kestabilan Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai mencerminkan keberanian serta kebijaksanaan kepimpinan Presiden PGRS dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor, dalam melakukan penyesuaian yang perlu demi masa depan parti.

Katanya, semua pihak perlu melihat pindaan tersebut dengan sikap terbuka kerana ia bertujuan menyusun semula kekuatan parti bagi memastikan PGRS lebih bersedia dan mantap dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN