ADVERTISEMENTspot_img

Lebih 2.1 Juta Pekerja Asing Dalam Pasaran Buruh Negara, 130,391 Di Sabah

Datuk Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR: Seramai 2,125,587 orang pekerja asing berada dalam pasaran buruh negara setakat 31 Disember 2025 dan daripada jumlah tersebut, seramai 130,391 orang pekerja asing bekerja di Negeri Sabah.


Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, sektor perladangan menjadi bidang terbesar yang mengupah pekerja warga asing dengan jumlah 76,726, diikuti sektor pertanian iaitu seramai 26,736 orang.


Selain itu, katanya, pekerja asing juga dilaporkan bekerja di sektor Perkhidmatan (7,783), Perkilangan (6,870), Pembantu Rumah (6,844), Pembinaan (5,345), dan Perlombongan Pengkuarian (87).


Jonathan mengongsikan maklumat tersebut yang diperolehi melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 yang diadakan baru-baru ini.


Dalam mesyuarat tersebut, beliau meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan mengikut data rasmi pihak Kementerian, berapa jumlah pekerja asing yang terkini di Sabah dan apakah langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi kekurangan pekerja di ladang di Sabah.
Menurut beliau masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan di Sabah merupakan isu kritikal yang melibatkan aspek keselamatan, ekonomi dan hak asasi.


Justeru, Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah strategik untuk menangani isu ini menerusi empat inisiatif utama.
Dalam Program Regularisasi dan Rekalibrasi Bersasar, katanya, Kerajaan Sabah menjalankan program khusus ini untuk memutihkan pekerja asing tanpa dokumen yang sah dalam sektor perladangan.


“Melalui program ini, majikan di sektor perladangan dan pertanian dikehendaki mendaftarkan pekerja asing mereka bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.


“Ini bertujuan untuk memastikan pekerja asing mempunyai identiti yang jelas dan dilindungi undang-undang.


“Langkah strategik ini bukan sahaja memperkasakan aspek keselamatan dan pemantauan, malah membantu menjamin kelangsungan operasi ladang daripada gangguan tindakan penguatkuasaan, sekali gus menyokong kestabilan ekonomi industri agro-komoditi negeri,” katanya.


Seterusnya, Jonathan memberitahu bahawa kerajaan juga melaksanakan Transformasi Perundangan Buruh (Ordinan Buruh Sabah) di mana Pindaan Ordinan Buruh Sabah yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2025, merupakan langkah transformatif untuk menyelaraskan hak dan kebajikan pekerja di Sabah dengan Akta Kerja 1955 di Semenanjung Malaysia.


Transformasi perundangan ini, katanya, memfokuskan kepada peningkatan standard kualiti kerja melalui penetapan gaji minimum yang lebih kompetitif, pengurangan waktu kerja, dan penguatkuasaan perlindungan sosial yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pekerja.


“Inisiatif ini bukan sekadar bertujuan untuk memartabatkan hak pekerja, malah berfungsi sebagai strategi serampang dua mata untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dengan menarik minat warga tempatan menceburi sektor perladangan melalui penjenamaan semula imej kerja 3D (Sukar, Bahaya, Kotor) kepada persekitaran kerja yang lebih kondusif dan adil,” katanya.


Selain itu, katanya, program Pemerkasaan (Technical and Vocational Education and Training) TVET dan Mekanisasi juga dijalankan. Kerajaan kini giat memacu agenda pemerkasaan TVET dan mekanisasi bagi mengurangkan keperluan tenaga buruh manual serta meningkatkan kecekapan operasi ladang melalui integrasi teknologi moden.


Inisiatif ini dilaksanakan dengan memperluas program TVET melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan melatih belia tempatan dalam bidang teknologi ladang seperti penggunaan dron untuk pembajaan dan sistem penuaian mekanikal.


“Bagi menyokong transformasi ini, kerajaan turut memperkenalkan insentif gaji yang lebih kompeiif, menyasar pada kadar RM2,500 ke atas bagi graduan TVET tempatan yang mengisi jawatan penyeliaan dan teknikal, sekali gus mewujudkan ekosistem kerja yang lebih profesional dan menarik berbanding skim gaji pekerja asing,” katanya.


Jonathan menambah, inisiatif lain termasuk pengiklanan jawatan kosong di Portal MYFutureJobs di mana majikan kini diwajibkan untuk mengiklankan kekosongan jawatan di portal itu sekurang-kurangnya selama 7 hingga 14 hari sebelum dibenarkan memohon pekerja asing.


Ini, katanya, bertujuan memastikan rakyat tempatan diberikan keutamaan terlebih dahulu bagi setiap kekosongan yang ada.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN