ROSAK……..Antara jalan raya yang rosak teruk,
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Penduduk Kampung Longut Lama di sini meluahkan kebimbangan berikutan keadaan jalan utama menuju ke kampung berkenaan yang dilaporkan rosak teruk sehingga tidak dapat dilalui kebanyakan kenderaan
Tinjauan di lokasi mendapati permukaan jalan dipenuhi lubang besar, berlumpur serta dinaiki air akibat sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.
Beberapa kalbut di laluan tersebut juga didapati tersumbat, sekali gus menyebabkan aliran air tersekat dan mempercepatkan kerosakan struktur jalan, terutama ketika musim hujan.
Seorang wakil penduduk yang enggan dikenali berkata masalah itu telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan semakin serius kebelakangan ini.
“Keadaan jalan amat teruk, kenderaan biasa sudah tidak dapat melalui laluan ini. Motosikal juga berisiko tergelincir kerana permukaan jalan tidak rata dan licin,” katanya ketika menghubungi wakil Borneo Daily, pada Khamis.
Menurut beliau, situasi berkenaan bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian penduduk, malah menjejaskan urusan persekolahan dan aktiviti ekonomi setempat.
Guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Longut Lama dilaporkan menghadapi kesukaran untuk hadir mengajar apabila laluan berkenaan tidak dapat dilalui, sekali gus menjejaskan sesi pembelajaran murid yang bergantung sepenuhnya kepada kehadiran tenaga pengajar.

BIMBANG… Seorang penduduk meluahkan rasa cemas ketika meninjau keadaan jalan raya yang dipercayai boleh terputus pada bila-bila masa.
Selain itu, para petani di kampung tersebut turut terkesan apabila tidak dapat membawa hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ke pasar sekitar pekan Ranau untuk dipasarkan.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian hasil rosak dan mengakibatkan kerugian kepada pengusaha kecil.
Penduduk juga bimbang sekiranya berlaku kecemasan kerana kenderaan seperti ambulans dan jentera penyelamat sukar memasuki kawasan kampung.
Mereka menyifatkan situasi itu sebagai berisiko tinggi terutama kepada warga emas, kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Longut Lama merayu agar pihak berwajib segera turun padang meninjau keadaan sebenar jalan tersebut dan mengambil tindakan pembaikan menyeluruh termasuk membersihkan kalbut tersumbat serta menaik taraf struktur jalan supaya lebih tahan lasak.
Mereka berharap aduan yang disuarakan itu mendapat perhatian serius demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan kira-kira ratusan penduduk kampung terus terpelihara, selain menjamin kelancaran urusan harian, pendidikan dan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.



