29 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 31, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Pekebun Kecil Sawit, Koko Tidak Akan Dibebelakangkan: Jonathan

Datuk Jonathan Yasin

RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata bahawa kerajaan akan memastikan agar pekebun kecil sektor sawit dan koko sentiasa diberi keutamaan supaya mereka tidak dibelakangkan dalam pembangunan industri berkenaan.


Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berwaib, terutama sekali oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam memastikan tiada pekebun kecil kedua sektor tersebut yang akan ketinggalan.


“Berkenaan Sektor Sawit, jumlah pekebun kecil sawit persendirian di Ranau adalah seramai 1,530 orang dengan keluasan 8,501.83 hektar.


“Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Ranau berperanan memberi khidmat nasihat teknikal dan bimbingan berterusan kepada koperasi serta pekebun kecil sawit, khususnya dalam aspek amalan pertanian baik (GAP), pengurusan ladang mampan dan pematuhan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).


“Dimaklumkan bahawa 97 peratus daripada jumlah pekebun kecil tersebut telah dipersijilkan dengan MSPO,” katanya.


Selain daripada itu, kata beliau, Koperasi Pekebun Sawit Mampan (KPSM) juga telah ditubuhkan di kawasan Ranau bertujuan membantu memperkukuh kedudukan pekebun kecil dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.


“Kita difahamkan bahawa KPK juga telah memperkenalkan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) bertujuan membangunkan kawasan tanaman sawit pekebun kecil sedia ada bagi meningkatkan hasil sawit.


“la adalah satu program bagi menggalakkan aktiviti penanaman semula sawit dengan menebang pokok sawit yang tua melebihi 25 tahun serta tidak lagi produktif dan menggantikan dengan bahan tanaman sawit yang berkualiti seperti PS 1.1.


“Program ini tidak terhad kepada kawasan atau lokaliti tertentu tetapi diperluas terbuka kepada pekebun kecil sawit di seluruh Malaysia bagi memastikan kadar tanam semula melebihi 4 peratus setahun,” katanya.


Makluman tentang perkara itu diberikan melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 yang diadakan di sini baru-baru ini.


Dalam mesyuarat tersebut, Jonathan meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan adakah kementerian itu akan memberi tambahan dana untuk membantu petani-petani bagi penanaman kelapa sawit dan koko yang baharu di daerah Ranau.


Beliau turut meminta agar dinyatakan langkah-langkah proaktif yang telah diambil kementerian itu bagi perkara tersebut di daerah ini.


Sementara itu, untuk Sektor Koko pula, KPK melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) sentiasa berusaha meningkatkan aktiviti penanaman koko sebagai sumber utama ekonomi negara.


“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Kerajaan telah memperkenalkan Program Peluasan Tanaman Koko dan Peningkatan Hasil Koko dan telah menyediakan peruntukan khas bagi pelaksanaan peluasan kawasan tanaman baru koko.


“Projek ini menyasarkan peluasan kawasan penanaman koko menjangkau 2,400 hektar sepanjang lima tahun pelaksanaan. Kawasan Ranau telah menunjukkan peningkatan permintaan terhadap penanaman koko yang ketara.


“Kerajaan telah memperuntukkan projek penanaman baharu koko di Ranau seluas 150 hektar yang melibatkan peruntukan berjumlah RM900,000 dalam Rolling Plan 1 (RP1) 2026,” katanya.


Menurutnya, projek ini dalam persiapan akhir dilaksanakan dengan penglibatan pekebun-pekebun kecil di seluruh Ranau, di mana, secara keseluruhannya, projek ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 900 hektar tanaman baharu koko pada tahun 2026 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


Tambah beliau lagi, terdapat peruntukan yang disalurkan untuk peningkatan pengetahuan dan kemahiran pengurusan tanaman di kalangan pekebun yang terlibat.


“Bagi pekebun yang telah mengusahakan tanaman koko yang membuahkan hasil, kerajaan memperuntukkan bantuan dalam bentuk input pertanian dan latihan di bawah Projek Pemulihan Kebun Koko meliputi Wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bernilai RM4.51 juta.


“Bantuan input pertanian dan latihan kepada pekebun kecil yang layak mampu meningkatkan produktiviti di kebun koko,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN