Tantagas yang turut terlibat menjayakan teater berkenaan.
KOTA KINABALU : Teater Muzikal The Last Tantagas : Keeper Of The Sacred Texts menonjolkan sejarah budaya dan kepercayaan etnik Dusun Lotud di Sabah.
Menurut Pengarah Produksi, Judeth John, kisah itu diangkat ke pentas teater muzikal sebagai langkah menghargai sumbangan etnik tersebut dalam sejarah warisan Sabah.
“Idea pementasan ini tercetus hasil daripada kajian ketika saya masih berkhidmat di muzium.
“Saya menyedari akan keperluan untuk mendokumentasikan perihal komuniti ini yang kian dilupakan oleh generasi muda.
“Lagu-lagu dalam teater ini juga diinspirasikan daripada mantera asli dan diberikan nafas baharu bagi menarik minat generasi muda agar mereka lebih memahami dan menghormati budaya warisan ini,” katanya ketika ditemui media selepas pementasan teater berkenaan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, pada Sabtu.

Para artis mempersembahkan teater muzikal dengan penuh penghayatan.
Judeth menjelaskan beberapa kolaborasi bersama universiti tempatan dijalin bagi menjayakan persembahan itu yang melibatkan 120 artis dan tenaga kerja seawal usia 12 hingga 67 tahun.
“Selain itu, kami juga akan untuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti yang dijangka dihadiri oleh beberapa orang ketua adat bagi membincangkan resolusi dan hala tuju dalam memelihara sisa-sisa warisan ini agar dapat dijadikan produk pelancongan budaya pada masa hadapan,” tambah beliau.
Persembahan pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran rombongan Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) yang diketuai Yang Dipertuanya, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Lebih 500 penonton hadir pada hari terakhir pementasan teater berkenan yang bermula sejak 23 Januari lepas./Penerangan–



