KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, agenda reform nasional mesti mencakupi kepentingan Sabah, termasuk pelaksanaan penuh hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, UPKO akan terus memperjuangkan representasi Sabah di Dewan Rakyat sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen, selain penyelesaian menyeluruh terhadap hak 40 peratus Sabah.
“Ini termasuk penyelesaian kepada pelaksanaan hak 40 peratus Sabah. Jika perundingan ke atas “lost years” itu mengambil tempoh, saya percaya pelaksanaan untuk tahun-tahun yang akan datang sepatutnya dapat dimuktamadkan.
“Ini merupakan agenda reform utama yang akan menjadi pembolehubah kepada banyak keperluan pembangunan di Sabah,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, agenda reform nasional juga mesti mencakupi penyelesaian lebih berkesan bagi menangani isu pendatang asing dan pelaksanaan jaminan perlembagaan kepada masyarakat Orang Asal Malaysia, iaitu Momogun dan Orang Asli.
Beliau berkata, apa jua reform nasional mesti berteraskan MA63 dengan penjiwaan terhadap semangat dan syarat asal Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Persekutuan, sambil menghormati sistem perundangan dan eksekutif kedua-dua negeri.
Dalam konteks penyertaan UPKO dalam agenda reform, beliau menyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri dan Ketua Menteri, penyasaran semula subsidi kerajaan, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan perundangan lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.
Mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon berkata UPKO berpegang kepada prinsip menyokong parti yang mempunyai kerusi terbanyak apabila tiada pihak memperoleh majoriti mudah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita di UPKO mahu melihat penyatuan besar parti-parti lokal Sabah, kita mendengar ssendiri kenyataan parti-parti lokal yang tidak mahu bersetuju dengan hasrat ini, tetapi penyokong-penyokong parti inilah pula yang akan terus ‘membubut’ UPKO dengan pelbagai naratif.
“Kerajaan sudahpun ditubuhkan dan sedang bekerja. Pada 30 Januari ini, Ketua Menteri akan meluncurkan Halatuju Sabah Maju jaya 2.0 yang sudah semestinya mencakupi agenda-agenda Sabah First,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan peneraju Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET).
Di MINDET, beliau memperkenalkan Dasar Sabah First berteraskan pembangunan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau pekerja kepada perniagaan tempatan.
Bagi merealisasikan wawasan itu, tiga fokus digariskan iaitu membangunkan ekosistem pelaburan, perindustrian dan keusahawanan yang lebih baik; meningkatkan kualiti serta standard produk dan perkhidmatan usahawan tempatan; serta memperkukuh kecekapan tadbir urus jentera penyampaian kementerian.
Beliau menegaskan isu Pelabuhan Sepanggar sebagai keutamaan utama MINDET dengan penyelesaian interim dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat, sementara penyelesaian jangka panjang melalui peluasan pelabuhan memerlukan tempoh lebih lama.
“Kita berada dalam kerajaan untuk bekerja kepada rakyat. Selepas penggal berakhir, kita kembali kepada rakyat untuk menilai sama ada kita telah menunaikan amanah dengan adil,” katanya.



