26.6 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 19, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kompleks Mini NRES Dijangka Siap Februari 2029

RASMI…Arthur menyempurnakan simbolik pecah tanah projek pembinaan Kompleks Mini NRES Sabah yang bakal menjadi pusat penempatan jabatan di bawah kementerian tersebut.

KOTA KINABALU : Kompleks Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) baharu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Februari 2029.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 itu mula dibina pada 2 Oktober 2025 dengan tempoh pembinaan selama 40 bulan.

“Selepas 32 tahun penantian, pembinaan Kompleks Mini ini akhirnya dimulakan.

“Kompleks Mini NRES ini akan menempatkan Ibu Pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Sabah, Pejabat Topografi Wilayah Kota Kinabalu JUPEM Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sabah serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Sabah.

“Projek bernilai kira-kira RM81 juta ini dibina di atas tanah seluas 6.77 ekar dan bakal menjadi pusat penempatan utama beberapa jabatan di bawah NRES yang sebelum ini beroperasi secara berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian tapak pembinaan kompleks berkenaan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, kompleks berkenaan turut dilengkapi dewan serbaguna, bangunan makmal dan gudang JMG serta pejabat pengurusan MET Malaysia bagi menyokong keperluan operasi, latihan dan pengurusan jabatan terlibat.

“Selama ini kebanyakan pejabat ini masih menyewa. Dengan adanya kompleks sendiri, ia bukan sahaja menjadi aset kerajaan, malah memudahkan urusan mesyuarat, latihan serta meningkatkan kecekapan pengurusan kementerian,” katanya.

Arthur turut menjelaskan Kompleks Mini NRES Sabah akan menerapkan ciri-ciri bangunan hijau selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh elemen kelestarian alam dan kecekapan tenaga dalam industri pembinaan.

“Keseluruhan reka bentuk kompleks ini menekankan konsep hijau pasif dan identiti seni bina Sabah yang moden serta harmoni, sejajar dengan fungsi dan peranan NRES,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata keperluan sistem amaran awal banjir turut dijadikan antara fokus utama kementerian berikutan ketidaktentuan cuaca yang semakin ketara, khususnya di Sabah.

“Kita boleh meramal tetapi tidak boleh mengawal cuaca. Oleh itu, peningkatan keupayaan ramalan dan sistem amaran awal perlu diberi keutamaan bagi menghadapi situasi cuaca ekstrem,” jelasnya.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Arifin serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab. /Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN