RANAU: Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, mengumumkan lima teras utama kempen beliau bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, dengan penekanan terhadap pembangunan inklusif dan kesinambungan agenda kemajuan di kawasan itu.
Abidin, yang merupakan penyandang kerusi Paginatan untuk dua penggal, berkata manifesto yang dibawanya kali ini memberi tumpuan kepada keperluan sebenar rakyat serta hala tuju jangka panjang bagi memacu Paginatan sebagai kawasan pedalaman yang pesat membangun.
Beliau berkata, lima teras tersebut dirangka berdasarkan keutamaan rakyat khususnya dalam aspek ekonomi, kesejahteraan sosial, peluang pendidikan, pembangunan belia dan kebajikan warga emas.
BANDAR BAHARU PAGINATAN: Pusat Pertumbuhan Pedalaman
Abidin menyatakan komitmen untuk membangunkan Bandar Baharu Paginatan sebagai pusat pertumbuhan baharu di pedalaman Ranau, merangkumi pembinaan infrastruktur moden, penstrukturan semula kawasan komersial dan penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
“Paginatan, Bandar Baharu, Harapan Baharu,” katanya sambil menegaskan pembangunan bandar baharu itu bakal menjadi pemangkin ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
KESEJAHTERAAN KAMPUNG: Kemudahan Holistik untuk Semua
Dalam teras kedua, beliau menekankan agenda menaik taraf kemudahan di kampung-kampung termasuk pembaikan jalan raya, bekalan air bersih, lampu jalan, sistem perparitan serta kemudahan kesihatan komuniti.
“Kemudahan untuk semua, bukan untuk segelintir,” tegasnya, sambil menyatakan bahawa pembangunan kampung tetap menjadi asas kestabilan sosial Paginatan.
AGRO-PERTANIAN & EKONOMI TEMPATAN: Pemacuan Paginatan Makmur
Teras ketiga memberi fokus kepada pengukuhan sektor agro-pertanian melalui bantuan input pertanian, penggunaan teknologi moden, sokongan pemasaran serta pembukaan pasaran baharu untuk hasil tempatan.
“Petani berjaya, ekonomi Paginatan meningkat,” katanya, merujuk kepada potensi besar pertanian di Paginatan sebagai pemacu ekonomi setempat.
BELIA & PENDIDIKAN: Memperkasa Generasi Penggerak Masa Depan
Agenda belia dan pendidikan turut diberi keutamaan, termasuk usaha menyediakan latihan kemahiran, peluang pekerjaan, pusat kegiatan belia dan sokongan pendidikan seperti biasiswa serta program motivasi.
“Belia hebat, masa depan kuat,” ujar Abidin, menekankan tanggungjawab mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan.
WARGA EMAS: Kebajikan dan Penghargaan
Teras kelima menyentuh soal kebajikan warga emas melalui penambahbaikan bantuan sosial, penyediaan pusat aktiviti warga emas serta program kesihatan secara berkala.
“Menghargai jasa, menjaga maruah,” katanya, menyifatkan warga emas sebagai tulang belakang komuniti yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Abidin menegaskan bahawa manifesto tersebut bukan sahaja bersifat realistik, malah mampu dilaksanakan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri pimpinan GRS.
Beliau turut menyeru pengundi agar terus memberi mandat kepadanya demi meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang dua penggal beliau sebagai wakil rakyat.



