30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Ujian Keikhlasan Nasional, Nilai Federalisme Sejati : Dr. Awang Faisal

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri ini disifatkan sebagai detik penting dalam sejarah autonomi fiskal dan maruah pentadbiran negeri, kata Naib Ketua Bahagian Likas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) , Dr. Awang Faisal Assyiffa (gambar).

Beliau berkata, keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan menerima atau merayu keputusan berkenaan akan menjadi ujian sebenar terhadap keikhlasan Putrajaya dalam menghormati semangat federalisme yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

“Isu ini bukan sekadar soal angka atau formula kewangan, tetapi mencerminkan keadilan sejarah serta penghormatan terhadap kontrak sosial yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi manifestasi janji bahawa Sabah akan menikmati pembangunan yang seimbang dan adil di bawah sistem persekutuan.

Sebagai individu yang terlibat dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia, Dr. Awang Faisal menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini.

“Sabah masih berdepan cabaran ketara dalam sektor pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia

“Banyak institusi pengajian di Sabah beroperasi dengan sumber yang terhad, sedangkan potensi pelajar dan tenaga muda negeri ini amat besar

“Jika tuntutan 40 peratus ini dilaksanakan dengan telus dan berstrategi, ia mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan pendidikan serta pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan hak itu juga akan memperkukuh keyakinan rakyat Sabah terhadap sistem federalisme Malaysia serta mengembalikan rasa percaya bahawa Sabah bukan sekadar pelengkap, tetapi rakan kongsi setara dalam pembinaan negara.

“Kerajaan Persekutuan kini berdepan peluang bersejarah untuk membetulkan ketidakseimbangan yang berlarutan selama hampir enam dekad

“Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi itu diterima dan dilaksanakan secara konstruktif, ia akan menjadi simbol kematangan politik dan bukti bahawa prinsip keadilan antara wilayah benar-benar dihayati oleh kepimpinan pusat,” jelasnya.

Namun, beliau menegaskan, sekiranya rayuan difailkan terhadap keputusan tersebut, ia akan dianggap sebagai langkah ke belakang yang boleh menjejaskan hubungan antara Sabah dan Putrajaya serta melemahkan semangat kebersamaan dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya menyeru agar keputusan yang bakal diambil tidak berasaskan kepentingan politik jangka pendek, tetapi berpaksikan integriti nasional dan keadilan antara wilayah

“Sabah tidak meminta lebih, hanya menuntut apa yang telah dijanjikan dan dijamin oleh Perlembagaan,” ujarnya.

Tambahnya, isu berkenaan perlu dilihat bukan sebagai tuntutan semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk menstruktur semula hubungan persekutuan yang lebih adil, telus dan progresif.

“Inilah masa untuk menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar sebuah Persekutuan yang matang, di mana suara dan hak setiap negeri dihormati dengan penuh keikhlasan,” tambahnya.





ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN