Masidi berseloroh bersama para belia dalam sesi soal jawab
RANAU: Seramai lebih kurang 40 orang belia mendalami pengetahuan berkenaan situasi politik tempatan dalam Program Coffee Break bersama dengan Datuk Masidi Manjun di Awan Coffee Ranau baru-baru ini.
Suasana soal jawab mesra dan santai antara anak muda Ranau bersama Masidi memberi ruang dan peluang kepada para belia untuk berkongsi idea, pandangan dan aspirasi sambil menikmati aroma kopi tempatan.
Program yang turut dijayakan bersama penyandang ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin itu diketuai Penganjur Program yang juga merupakan Ahli Belia N.38 Paginatan, Mohd Adib Moin.
Menurut Adib, objektif penganjuran program ini ialah untuk mengumpulkan anak-anak muda, khususnya yang berumur 18 hingga 30 tahun dan memberikan sedikit pendedahan berkaitan isu-isu semasa di daerah ini.
“Selain itu, inisiatif kita juga adalah untuk menjadi jambatan antara anak muda dengan pemimpin, dan membuka ruang bagi mereka untuk dapat bersua muka secara langsung dengan peimpin kita.
“Melalui platform ini, kita dapat mengumpulkan aspirasi belia anak muda dan juga memberi maklumat-maklumat berkaitan dengan politik menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Bercakap kepada media semasa program itu, Adib memberitahu bahawa Datuk Masidi sempat mengongsikan pengalaman beliau sebagai belia, dan juga dalam menjadi ahli professional, koperat dan juga politik.
“Beliau turut berbicara hal berkaitan dengan belia dan politik memandangkan kini sudah di ambang pilihan raya dan kita mahu menggalakkan anak-anak muda agar turun mengundi.
“Dari bahagian belia yang hadir pula banyak aspirasi yang kita lihat melalui pertanyaan-pertanyaan yang diajukan kepada para pemimpin.
“Rata-rata belia bertanyakan tentang isu ekonomi, politik Negeri Sabah, perniagaan dan juga bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu, katanya, isu sukan juga ditimbulkan di mana belia ingin tahu sejauh mana inisiatif kerajaan negeri dalam melonjakkan lagi industri kesukanan di Sabah.
“Kita mengharapkan agar para belia di Ranau lebih berfikiran kritikal, lebih terbuka untuk mengambil peluang berjumpa dengan pemimpin kita dan berinteraksi langung dengan mereka supaya apa-apa aspirasi kita dapat sampai terus kepada para pemimpin.
“Rata-rata belia yang ditemui berkata, mereka begitu teruja dengan perkongsian yang disampaikan, dan mahu menjadikan Datuk Masidi sebagai role model mereka,” jelas beliau.



