Japirin Sahadi
KUNDASANG: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup mengumumkan Ketua Bahagian PBRS DUN Kundasang, Japirin Sahadi, sebagai calon pilihan parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dato’ Sri Arthur membuat pengumuman tersebut ketika merasmikan penubuhan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundasang yang diadakan di Kg Dempisong, bertempat di kediaman keluarga Sahadi Dungoi baru-baru ini.
Menurut beliau, nama Japirin telah dihantar kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk disahkan sebagai calon PBRS-BN bagi DUN Kundasang.
Dianggarkan lebih daripada 500 orang penduduk tempatan hadir memeriahkan majlis itu, termasuk pimpinan PBRS kawasan, ahli-ahli parti, serta masyarakat kampung sekitar yang menunjukkan semangat dan sokongan padu terhadap kepimpinan parti.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Arthur menegaskan bahawa Kundasang merupakan kawasan yang unik, di mana terdapat tempat yang masih memerlukan pembangunan baharu, dan ada pula yang memerlukan pengurusan serta penyelenggaraan berterusan agar kemajuan dapat dinikmati secara seimbang.
“Kundasang adalah kawasan yang unik ada tempat yang memerlukan pembangunan baharu, dan ada tempat yang memerlukan pengurusan serta penyelenggaraan yang baik.
“PBRS mahu memastikan kedua-dua keperluan ini diberi perhatian sewajarnya demi kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa Kundasang memerlukan calon anak jati kawasan yang benar-benar memahami keperluan, cabaran, dan kepentingan rakyat setempat, agar setiap pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Japirin Sahadi ialah anak jati Kundasang yang memahami denyut nadi rakyat di sini. Beliau tahu apa yang perlu dibangunkan dan apa yang perlu dijaga.
“Inilah calon yang kita percaya mampu membawa perubahan positif untuk Kundasang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Arthur turut menyatakan hasratnya untuk melihat kawasan Kundasang dan Paginatan membangun pesat, seiring dengan kemajuan yang kini sedang berlaku di Pensiangan, kawasan parlimen yang beliau wakili.
“Saya mahu lihat Kundasang dan Paginatan turut membangun pesat seperti Pensiangan. Kita mahu pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah bukan hanya di satu kawasan, tetapi untuk semua rakyat,” tegasnya.
Sementara itu, Japirin Sahadi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji untuk bekerja keras dalam memperjuangkan nasib rakyat Kundasang serta memastikan pembangunan terus sampai ke setiap pelosok kampung.
Majlis diakhiri dengan jamuan rakyat dan sesi bergambar bersama Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup serta kepimpinan PBRS setempat, menandakan permulaan baharu perjuangan PBRS-BN di DUN Kundasang.
Turut hadir di majlis itu, Mantan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin, param pimpinan PBRS Kundasang, para penyokong dan lain-lain.
TAMAT
PIX
1 – Japirin Sahadi
2 – Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Japirin, Dr Ewon dan lain-lain dalam majlis itu



