Suzie Salapan , CLC UPKO Bandau
KOTA MARUDU: UPKO Bahagian Bandau mencadangkan agar Presiden parti itu, Datuk Ewon Benedick, dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO DUN N6 Bandau, Suzie Salapan, berkata cadangan itu dibuat berdasarkan rekod kepimpinan Ewon yang disifatkan konsisten, dekat dengan rakyat serta mempunyai visi pembangunan yang jelas.
“Datuk Ewon sentiasa membumi, merendah diri dan menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi dalam agenda pembangunan negeri
“Beliau benar-benar memahami denyut nadi masyarakat kerana kehidupannya diisi dengan kerja bersama komuniti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook , hari ini.
Menurutnya, kejayaan pembangunan di Kadamaian dan Penampang, selain pencapaian Ewon ketika menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kini Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), membuktikan kemampuan beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
“Di Kadamaian, pembangunan pesat berlaku dengan peningkatan kemudahan asas serta peluang ekonomi luar bandar
“Manakala di Penampang, walaupun baru lebih dua tahun menjadi Ahli Parlimen, beliau terbukti rajin turun padang mendengar masalah rakyat,” jelasnya.

EWON..Presiden UPKO
Suzie berkata kepimpinan Ewon di KUSKOP turut menyerlah apabila beliau memperkenalkan dasar dan program baharu bagi memperkasa usahawan, koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Langkah itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan rakyat, malah membuka peluang ekonomi baharu untuk Sabah dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, UPKO Bandau sebulat suara menyokong penuh agar Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian, dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas PRN-17



