ADVERTISEMENTspot_img

Pentadbiran Hajiji Terus Pacu Pembangunan Sabah: Nizam Titingan

Nizam Titingan

KOTA KINABALU: Dakwaan Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir kononnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor gagal mentadbir negeri adalah tidak berasas dan bermotif politik, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata tuduhan bahawa pengalaman luas Hajiji tidak membawa hasil kepada rakyat bercanggah dengan fakta pembangunan yang sedang berjalan di negeri itu sejak lima tahun lalu.

“Masalah asas seperti jalan raya, air dan elektrik adalah legasi berpuluh tahun yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu termasuk ketika UMNO Sabah berkuasa. Sejak 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana khas di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menaik taraf jalan luar bandar, mempercepatkan projek empangan serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi menstabilkan bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas isu kadar pengangguran, Nizam berkata cabaran Sabah perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, faktor geografi dan pergantungan kepada sektor tidak formal. Namun, katanya, data rasmi menunjukkan peluang pekerjaan terus bertambah.

“Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan, pertanian hiliran dan industri teknologi,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terpalit dengan skandal lesen mineral, sambil menegaskan bahawa Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur sudah menjelaskan perkara itu.

“Tiada sebarang lesen carigali dikeluarkan seperti didakwa. Malah SMM telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan palsu yang cuba mencemar imej kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Nizam, kenyataan Suhaimi yang menyuruh Hajiji ‘berehat’ adalah retorik politik semata-mata kerana realitinya kepimpinan Ketua Menteri berjaya mengembalikan kestabilan politik negeri, memperkukuh hasil negeri termasuk melalui penyertaan Sabah dalam Petronas serta meletakkan negeri ini di landasan pembangunan mampan.

“Menyerang Hajiji dengan tohmahan tidak akan mengubah fakta bahawa GRS berjaya membawa keyakinan pelabur dan membuka laluan kepada pembangunan ekonomi yang lebih mapan untuk masa depan negeri,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN