SEMANGAT….Flovia (tengah)bersama sebahagian jentera pilihan raya PDM Tulid
SOOK (Tulid): Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, Datuk Flovia Ng, menyeru semua jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu supaya bergerak seiring dan mantap bagi memastikan kemenangan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah) yang juga komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, kekuatan jentera akar umbi adalah tunjang utama dalam mengekalkan kemenangan, justeru setiap PDM perlu memperkukuh organisasi serta menyusun strategi gerak kerja dengan lebih tersusun.
“Semangat kerjasama dan komitmen tinggi daripada semua PDM amat saya hargai. Inilah kekuatan akar umbi yang akan memastikan kemenangan terus berpihak kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Jentera Pilihan Raya PDM Sinulihan dan PDM Tulid yang berlangsung di Kampung Simpang Empat dan Kampung Kindasan, pada Rabu.
Menurut Flovia, perjumpaan itu menjadi platform penting untuk menyatukan strategi, menyelaraskan tindakan serta menyuntik semangat baharu kepada jentera akar umbi dalam menghadapi PRN yang dijangka diadakan bila-bila masa.

FLOVIA (duduk tengah) bersama jentera pilihan raya PDM Sinulihan
Beliau yang juga Ketua Bahagian STARSabah Tulid menekankan kepentingan memahami dasar-dasar kerajaan GRS supaya setiap isu yang timbul dapat dijawab dengan tepat dan berlandaskan fakta.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar berhati-hati sebelum memberi respon di ruangan awam, termasuk kumpulan WhatsApp atau media sosial.
“Sahih baru kongsi,” tegasnya sebagai peringatan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Perjumpaan yang dihadiri lebih 100 individu termasuk ketua kampung, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta jawatankuasa PDM itu berlangsung dalam suasana penuh semangat dan keterbukaan.
Flovia menegaskan, segala persediaan perlu dimulakan dari awal bagi mengelakkan sebarang masalah menjelang pilihan raya, selain memperkukuh kerjasama, meningkatkan kefahaman politik serta menjadi medan penyatuan jentera di peringkat akar umbi.



