Penerimaan borang keahlian baharu Parti StarSabah di Kg. Simpang Poring
RANAU: Rakyat di sini, khususnya di DUN Paginatan diseru agar terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesinambungan pembangunan kepada kampung-kampung di sini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, haluan politik Negeri Sabah yang diterajuai pimpinan GRS sudah berada di landasan yang betul dan apa yang diperlukan ialah sokongan berterusan daripada rakyat.
Datuk Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Balairaya Kg. Doromomol yang diadakan di sini beru-baru ini.
Beliau berterima kasih atas jemputan merasmikan Balairaya Kg Doromomol dan kesempatan bertemu dengan penduduk Kg Doromomol dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat itu.
“Ini adalah kali yang ke tiga saya berada di Kampung ini dan beberapa kali melalui kampung ini jika ada lawatan ke kampung-kampung berdekatan.
“Saya amat senang hati berkesempatan merasmikan Balairaya Kg Doromomol. Sekurang kurangnya salah satu usaha melaksanakan tugas sebagai Wakil Rakyat kamu.
“Saya juga sudah laksanakan tanggung jawab melantik Pengerusi JKKK Kg Doromomol dan kita akan usahakan supaya Kg Doromomol ini mendapat kuota Ketua Kampung, seperti juga kita berjaya mengujudkan Jawatan Ketua Kampung di beberapa kampung yang baru diwartakan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi sedikit pencerahan mengenai pengeluaran kawasan Ponulangon/Walou daripada Hutan Simpan yang dilakukan baru-baru ini.
“Pengeluaran kawasan kampung Kg. Ponulangon dan Kg. Walou daripada Hutan Simpan telahpun diluluskan oleh DUN pada 8hb Julai 2025. Surat kelulusan akan diperolehi secara rasmi pada minggu hadapan.
“Kawasan ini dikeluarkan dalam bentuk Warta Kerajaan. Ia akan memudahkan penduduk kampung membuat permohonan tanah melalui PPHT Ranau.
“Apa yang penting ialah penduduk kampung Kg. Ponulangon dan Kg. Walou memohon Kerajaan untuk membatalkan pewartaan untuk membolehkan mereka memohon pemilikan tanah melalui proses biasa permohonan tanah.” katanya.
Sebagai Wakil Rakyat, Abidin berkata, beliau akan usahakan bersama sehingga penduduk di sini dapat memiliki geran bagi pemilikan tanah tersebut.
Dalam pada itu, berkenaan Pecah Tanah Bandar Baru Paginatan yang dahulu dikenali sebagai Pekan Kecil Paginatan, katanya, Perasmian Bandar Baru Paginatan telah ditunda ke tarikh 12 Ogos 2025, bertempat di Perkarangan Tugu Nunuk Ragang.
“Penundaan tarikh adalah untuk membolehkan YAB Ketua Menteri Sabah sama-sama dalam majlis yang penuh bersejarah bagi rakyat di Kawasan DUN Paginatan dan seterusnya menyempurnakan perasmian Pecah Tanah tersebut.
“Kita mengharapkan seluruh rakyat DUN Paginatan sama-sama hadir memeriahkan hari yang cukup bermakna ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Sinun Majip merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana memberi kepercayaan kepada saya dan melantik beliau sebagai Pengerusi JKKK Kg Doromomol.
beliau juga merakamkan dan menghargai sumbangan Mendiang Yasiri Bijin, mantan Pemaju Mukim Paus/Paginatan kerana komitmen beliau yang amat tinggi untuk memajukan kampung-kampung di Mukim Paus/Paginatan.
“Kita juga amat menghargai sumbangan YB Datuk kepada penduduk Kg Doromomol kerana memberi kita peruntukan pembinaan balairaya, pemasangan paip graviti, pemasangan solar dan banyak lagi yang sudah Datuk bantu khusus bagi penduduk Kg. Doromomol.
“kita mahu supaya YB Datuk terus menjadi Wakil Rakyat kita kerana atas keprihatinan beliau kita yakin beliau akan membawa lebih banyak pembangunan bagi Mukim Paus amnya dan Kg. Doromomol khasnya,” katanya.
Ketua Kampung Kg Paus, Dualis Guni menyeru kepada semua penduduk Kg Doromomol untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada YB Datuk Abidin Madingkir untuk terus menjadi Wakil Rakyat kita selepas PRN17 kerana terbukti beliau betul-betul faham dengan keperluan rakyat dan merasa denyut nadi rakyat.
WKAN Petrus Kunsal pula merakamkan penghargaan yang amat tinggi kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana beliau adalah satu-satunya Wakil Rakyat yang tidak jemu-jemu menyantuni rakyat khususnya di Mukim Paus/Paginatan.
“Sebagai contoh, dalam beberapa bulan ini sahaja sudah dua kali beliau datang di Kg. Doromomol ini. Kita amat menghargai usaha YB Datuk kerana Kg. Doromomol kini sudah diiktiraf sebagai kampung dengan mempunyai JKKKnya sendiri.
“Diharap kuota Ketua Kampung akan menyusul diberikan kepada Kg. Doromomol. Apa yang penting kita akan teruskan sokongan tidak berbelah bagi kepada YB Datuk Abidin Madingkir pada PRN17akan datang dan memastikan kemenangan cemerlang beliau dalam Pilihanraya tersebut,” katanya.
Dalam satu acara berlainan di Kg. Simpang Poring, YB Datuk Abidin Madingkir sempat menerima kemasukan ahli baru Parti StarSabah seramai 52 orang.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli baru kerana memilih Parti StarSabah sebagai wadah perjuangan dalam politik.
Berkenaan kemasukan itu, katanya, sudah tentunya ia dapat memantapkan lagi kedudukan GRS di DUN Paginatan.
Turut hadir di majlis itu, PPM Paginatan Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong, KAN Sawalin Zakaria, KAN Kapilin Hj Surop, Ketua Wiranita dan Ketua Wiramuda Star Paginatan dan para pemimpin masyarakat setempat.



