
Corak dan motif asli etnik Tinagas diserahkan kepada Arkib dan Lembaga Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah
RANAU: Masyarakat Dusun Tinagas mencapai satu lagi mercu tanda bersejarah dengan pelancaran corak dan motif asli etnik itu, serta penyerahannya kepada Arkib dan Lembaga Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
Majlis Piuludan Tinagas yang bertemakan ‘Tumungag, Mingkakat, Mungkarab’ tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin bertempat di Dewan Serbaguna Tinagas Kampung Malinsau, Ranau pada 26 – 28 Jun 2025 (Khamis – Sabtu) lepas.
Piuludan Tinagas dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Kampung Malinsau, Ranau (MAWASI) bersama Persatuan Tinagas Sabah (PTS) dan Persatuan Belia Tinagas Ranau (PBTR).
Dalam ucapannya, Datuk Jonathan berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan seluruh masyarakat Tinagas atas pencapaian itu dan kerana berjaya menganjurkan program tersebut dengan lancar dan baik.
“Syabas dan tahniah juga atas dedikasi serta komitmen semua dalam mencapai mercu tanda serta menganjurkan program ini dan diharapkan agar tradisi seumpama ini akan terus dilaksanakan di masa akan datang,” katanya.

Datuk Jonathan membuat gimik perasmian Majlis Piuludan Tinagas sambil disaksikan oleh yang lain-lain
Tambahnya, beliau akan terus membantu komuniti di kawasan ini dengan keupayaan beliau, dan mencadangkan agar selain mendapatkan bantuan kerajaan, pihak penganjur juga terus mencari dana dari sumber antarabangsa.
Acara yang berjaya menarik perhatian lebih kurang 2,000 orang pengunjung dari tiga daerah iaitu Ranau, Kota Marudu dan Beluran itu juga melibatkan pelbagai acara kebudayaan Dusun Tinagas yang diadakan dalam bentuk pembelajaran.
Program ini merupakan platform penting untuk memperkenalkan, menghidupkan kembali serta mengekalkan adat resam, bahasa, seni dan amalan turun-temurun agar tidak lenyap ditelan zaman.
Selain berperanan sebagai wadah pemeliharaan budaya, program ini bukan setakat pesta, tapi acara ini berupaya menarik minat generasi baharu untuk lebih mengenali dan menghargai warisan nenek moyang mereka sekaligus memastikan kesinambungan budaya ini terus berkekalan dalam kehidupan moden.
Lebih daripada itu, Piuludan Tinagas juga memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengenali keunikan budaya dan tradisi kaum Tinagas, seterusnya meningkatkan penghormatan serta pengiktirafan terhadap keindahan warisan ini.
Semenatara itu, Pengerusi MAWASI merangkap Pengerusi Piuludan Tinagas 2025, Puan Maslah Rompado dalam ucapannya berterima kasih kepada para pendana yang telah menyumbang kearah kejayaan penganjuran acara itu.
“Pertama, Indigenous People of Asia Solidarity Fund-IPAS yang beralamat di Indonesia, dan diwakili Cik Stephanie Andryani, FIMI organisasi wanita berpusat di Peru, IWGIA yang berpusat di Denmark, dan juga organisasi PWOAM dan AIPP dan JOAS.
“Terima kasih kepada syarikat yang memberi sumbangan seperti Yayasan Sabah, JETAMA dan Golden East Plantation & Construction, Akademi Memandu Ranau, Hotel Perkasa Ranau, Kedai Perabot Liang dan juga sumbangan-sumbangan peribadi.
“Terima kasih juga kepada sumbangan wakil- wakil rakyat kita, YB Datuk Jonatahn Yasin, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan YB Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. Terima kasih kepada YB Datuk Jonathan Yasin kerana menerima jemputan untuk merasmikan Piuludan Tinagas 2025,” katanya.
Maslah juga berterima kasih kepada wakil jabatan-jabatan kerajaan dan juga kepada semua yang hadir sama ada menyertai pertandingan ataupun hanya hadir sebagai penonton.
“Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua ahli jawatankuasa Piuludan Tinagas 2025. Begitu ramai yang telah menyumbang, masa, tenaga, dan wang ringgit demi menjayakan program ini.
“Saya melihat bahawa kita mempunyai kesedaran pentingnya program ini untuk kesinambungan bangsa kita. Saya berharap pengorbanan kita semua tidak sia-sia.

Maslah, Jonathan dan lain-lain mengabadikan kenangan dalam Majlis Piuludan Tinagas itu
“Saya tertarik dengan ayat ini; ‘Jika mahu menghapuskan sesuatu bangsa, hapuskanlah bahasa dan budayanya’. Dengan perkembangan globalisasi dan era digital, kalau bahasa dan budaya kita tidak di pelihara, tidak mustahil 10 atau 20 tahun dari sekarang bangsa Tinagas akan hilang,” katanya.
Tambah Maslah lagi, ketika mula-mula mendalami keunikan Tinagas, beliau dapati sudah banyak yang dilupakan. Sebagai contoh, jenis bunyi pukulan gong Tinagas, kebanyakannya sudah tidak mengetahui bahawa ada 4 jenis bunyi pukulan gong Tinagas iaitu, sentuk toomod, beretinduk, gouting dan solundoi.
“Demikian juga nyanyian tradisi kita ada sinding tomod, rangkawan, tondoyon dan madlibag.
Setakat ini, belum saya jumpa orang yang boleh madlibag. Opirongou ku nopo ‘napatai poh diri e Deros, aso noh diri koilo madlibag kah’,” katanya.
Menurutnya, ada beberapa keunikan Tinagas yang sangat ketara yang membezakannya dari rumpun Dusun yang lain.
Bagi memperlihatkan keunikan ini, katanya, dalam acara piuludan Tinagas, telah dipertandingkan beberapa acara seperti Ratu Lapoi, Suminding, Manangon, Muzik dan Tarian Kombo dan Nuwung.
“Harapan kami agar pertandingan seumpama ini dapat memotivasikan komuniti Tinagas untuk mengajarkan keunikan- keunikan ini kepada anak-anak mereka.
“Generasi kami sudah memulakan, sudah merintis jalan. Harapan saya agar ada kesinambungan acara ini, generasi demi generasi,” katanya.
Maslah memberitahu bahawa program Piuludan Tinagas itu akan adakan setiap 3 atau 5 tahun sebagai wadah untuk meneruskan adat, budaya dan keunikan Bangsa Tinagas.



