Mohd Yusmanizam (tengah) dan pegawai Sabah Electricity lain memeriksa Sistem DA di Kundasang pada hari Rabu
RANAU – Sabah Electricity terus komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan melalui pelaksanaan projek – projek pengukuhan sistem bekalan elektriknya.
Inisiatif ini termasuklah pemasangan sistem automasi ‘Distribution Automation’ (DA) dan seterusnya memberi manfaat lang sung kepada kira – kira 20,000 pengguna di Ranau.
Menurut Chief Operating Officer, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, sistem indeks tempoh purata masa gangguan bekalan ataupun SAIDI Sabah pada tahun 2024 adalah 207 minit dan unjuran SAIDI pada tahun 2025 adalah diparas bawah 190 minit.
Sementara itu, jumlah SAIDI bagi kawasan Ranau dari bulan Januari sehingga April 2024 adalah 230 minit manakala 165minit direkodkan pada tempoh yang sama pada tahun ini. Hampir 30% penurunan tempoh gangguan di Ranau.
Sistem automasi DA ini telahpun siap dipasang dan dioperasikan di 681 lokasi strategik seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah di Ranau ini.
Sistem ini juga telahpun berjaya meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi serta kepuasan pelanggan.
Pemasangan sistem ini juga membolehkan pengoperasian sistem pembekalan elektrik dikendalikan terus daripada Pusat Kawalan Pembahagian] (DCC) yang berada di Kota Kinabalu secara jarak jauh.
Ini bermaksud sekiranya berlaku gangguan di lokasi yang telah terpasang sistem DA ini, maka pihak DCC (di Kota Kinabalu) boleh mengenalpasti dan mengasingkan kerosakan daripada sistem bekalan elektrik dan seterusnya melaksanakan pemulihan bekalan kepada kawasan yang tidak terlibat kerosakan dengan kadar segera.
Sebelum adanya sistem ini, pasukan teknikal Sabah Electricity perlu pergi ke tapak untuk melakukan pengoperasian bagi mengasingkan kerosakan. Perjalanan pasukan teknikal ke tapak mengambil masa yang lama bergantung kepada keadaan trafik serta cuaca semasa. Justeru menyumbang kepada kelewatan pemulihan bekalan elektrik.
Pemasangan sistem ini semakin rancak dan Sabah Electricity menjangkakan menjelang tahun 2030 sebanyak 1,250 lokasi di seluruh negeri Sabah dan W.P Labuan akan siap dipasang dengan sistem ini.



