Kenderaan pacuan empat roda mengambil risiko meredah banjir untuk menghantar pelajar ke sekolah
SOOK: Penduduk lima buah kampung di daerah Sook kini semakin terdesak apabila banjir terus berlaku hampir setiap bulan, malah sebanyak tiga kali dalam bulan mei ini sahaja berlaku banjir.
Keadaan ini turut menjejaskan lebih 300 orang pelajar dari lima buah sekolah, selain mengugat keselamatan warga emas, pekerja harian dan peniaga kecil.
Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, masalah banjir di laluan utama dari Kg Malima ke Kg Binuwou Tengah yang menjadi laluan harian bagi penduduk Kg Seribulu, Kg Nukakatan, Kg Terlobou Baru, Kg Johan Jaya dan kawasan berhampiran Syarikat Jutaya semakin meruncing dan membimbangkan penduduk.
Banjir kini menjadi rutin bulanan, yang lebih membimbangkan, banjir tetap berlaku walaupun hujan hanya turun secara sederhana.
Laluan utama tidak dapat dilalui akibat permukaan yang mendap dan sistem saliran yang tidak lagi berfungsi dengan baik.
Menurut salah seorang wakil penduduk, kerja-kerja pembaikan pernah dilakukan oleh salah sebuah syarikat dengan menabur batu di laluan tersebut termasuk pengredan jalan.
Namun, tindakan ini bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah menyebabkan jalan menjadi lebih rendah dan mudah dinaiki air.
Tambahan pula, batubatu yang ditabur turut hanyut dibawa arus banjir, menjadikan laluan semakin berbahaya.

Penduduk kampung menyelamatkan warga emas yang terperangkap di kebun
Ketua Kampung Terlobou, Matilin Bin Sapin, turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan ini yang sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian.
“Setiap kali hujan, kami risau. Jalanraya di sini bukan saja dibanjiri, tapi juga membahayakan nyawa. Ramai penduduk yang terperangkap, pelajar terpaksa ponteng sekolah dan pekerja harian yang berkerja di pekan Sook dan juga pekan Keningau kehilangan pendapatan.
“Kami sudah banyak kali buat laporan secara bertulis, melalui media sosial dan secara lisan kepada pihak berwajib, wakil rakyat, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat yang menyelenggara jalan di kawasan ini, tapi masih belum ada penyelesaian konkrit.
“Kami benar-benar berharap agar pihak berkuasa mahupun wakil rakyat, JKR dan kerajaan negeri turun padang dan lihat sendiri penderitaan kami,” kata beliau ketika dihubungi media di sini.
Tinjauan mendapati kesan banjir sangat ketara sehinggakan lima buah sekolah yang terlibat iaitu SMK Sook, SK Malima, SK Bunang, SK Binuwou Tengah dan SK Sook terpaksa melaksanakan PDPR apabila pelajar tidak dapat hadir ke sekolah.
Terdapat juga kejadian pelajar hampir lemas ketika cuba menyeberangi banjir, dan para peniaga kecil dan hasil tanaman seperti buah sawit rosak dan tidak dapat dijual akibat terputus hubungan jalan.
Lebih membimbangkan, kejadian warga emas pernah terperangkap dalam banjir ketika pulang dari kebun, tetapi berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. Ini membuktikan situasi yang amat merbahaya jika tiada tindakan segera diambil.
Penduduk pernah bergotong-royong membersihkan parit dan cuba membina laluan sementara, tetapi tanpa sokongan jangka panjang, keadaan ini tidak banyak berubah. Masalah banjir tetap berlaku.

Kanak-kanak sekolah hanya mampu melihat tanpa mampu merentasi air yang melompah naik
Masalah ini bukan baru. Penduduk kampung hanya mahu jalan yang selamat, terutama untuk anak-anak pergi ke sekolah. Penduduk kampung berharap agar pihak berwajib, kerajaan negeri dan persekutuan mengambil serius isu ini.
Antara cadangan bantuan segera yang diperlukan termasuklah menaik taraf jalan utama dari Kg Malima ke Kg Binuwou Tengah, menimbun kawasan-kawasan rendah yang mudah dinaiki air dan memperbesarkan saiz culvert serta sistem saliran di sepanjang laluan utama.
Harapan penduduk kampung jelas, mereka mahu tindakan segera, perubahan dan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar lawatan yang pernah dilakukan dahulu.
Banjir bukan lagi isu bermusim, tetapi sudah menjadi masalah harian yang menjejaskan kehidupan, pendidikan dan ekonomi penduduk kampung.
“Tolong selesaikan, tolong ambil tindakan segera, kami rayu perubahan dan penyelesaian isu banjir yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.
“Kami tidak minta lebih, hanya jalan yang selamat untuk anak-anak kami ke sekolah, untuk kami berkerja mencari rezeki dan untuk ibubapa serta warga emas yang sering terdedah kepada risiko ketika banjir.
“Jangan biarkan masalah ini terus berlarutan tanpa penyelesaian, sudah terlalu lama kami menunggu,” itu luahan pemimpin-pemimpin kampung mewakili kesemua penduduk lima buah kampung yang menghadapi masalah banjir.



