ADVERTISEMENTspot_img

Penduduk kampung lega dapat bekalan air bersih

Abidin, Jonathan dan lain-lain menunjukkan tanda bagus terhadap projek air bersih yang telah siap itu


RANAU: Ratusan keluarga di sini menarik nafas lega kerana akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih, hasil daripada Projek Rotary Bekalan Air dan Sanitasi Kg. Bahab yang siap di sini baru-baru ini.


Projek itu adalah hasil sumbangan daripada NGO Kelab Rotary iaitu Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl dan Rotary Club of Likas Bay dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan penaja utama The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Day Saints.


Projek yang siap sepenuhnya itu disaksikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dalam satu majlis di Mini Dewan Kg. Bahab pada hari Selasa, yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


Dalam ucapannya, Abidin berkata, terdapat beberapa projek bekalan air graviti seumpama itu yang telahpun siap dilaksanakan iaitu di Kg. Kepangian, Kg Paus dan Kg. Doromomol dan perasmian juga akan diadakan di kampung-kampung itu kelak.


“Bagi pihak penduduk di beberapa buah kampung ini, saya selaku Wakil Rakyat DUN Paginatan ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada usaha beberapa cabang Kelab Rotary dengan kolaborasi khusus penaja utama The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints yang diterajui oleh Elder Brad dan isterinya Sister Marsha Douglas.


“Syabas dan tahniah kepada penduduk kampung kerana mendapat menafaat secara langsung daripada projek ini. Projek ini sekurang kurangnya telah membantu wakil rakyat menyediakan peruntukan bagi keperluan asas penduduk kampung.


“Saya difahamkan terdapat 16 buah kampung di Daerah Ranau telah mendapat menafaat projek bekalan air graviti ini dimana tujuh daripadanya dilaksanakan di Kawasan DUN Paginatan,” katanya.


Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata, seramai 1,658 keluarga dengan lebih 7,000 penduduk kampung di Daerah Ranau telah mendapat manfaat daripada projek kemasyarakan ini.


Beliau menyeru kepada penduduk kampung supaya memelihara dengan baik projek bekalan air dan perlu ada ‘sense of belonging’ supaya bekalan air ini sentiasa dalam keadaan baik dan beroperasi demi kebaikan penduduk kampung itu sendiri.


Tambah beliau, Kerajaan Negeri memang prihatin menyediakan keperluan asas kepada rakyat dan salah satu daripada nya adalah membekal air bersih kepada penduduk kampung.


Katanya, masalah air di Ranau diharap dapat diselesaikan sepenuhnya dengan siapnya projek bekalan air Nakamura yang sedang dibina oleh Jabatan Air Sabah dan dijangka akan siap tidak lama lagi.

Pengerusi Paip Graviti Kg. Bahab, Suhaimin Duari, berterima kasih kepada seluruh penduduk Kg. Bahab yang bertungkus lumus bergotong royong menyiapkan projek bekalan air graviti ini.


“Bekalan air graviti kepada komuniti Kg. Bahab dapat direalisasikan dengan adanya sumbangan daripada NGO dengan kerjasama agensi agensi kerajaan dan penaja utama The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Day Saints.


“Kita merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir, Wakil Rakyat DUN N38 Paginatan kerana membantu kami mendapatkan sponsor dan merealisasikan impian kami mendapat bekalan air graviti yang diidam idamkan.


“Rakyat Kg. Bahab akan terus berada di belakang kepimpinan YB Datuk Abidin dan akan memastikan kesinambungan kepimpinan beliau di DUN Paginatan sebagai Wakil Rakyat selepas PRN17.

Perkhidmatan beliau sebagai Wakil Rakyat masih amat diperlukan,” katanya.


President Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Cenderamata Sinteh bersyukur kerana pada akhirnya projek bekalan air graviti Kg Bahab dapat disiapkan dalam beberapa bulan sahaja.


Kolaborasi beberapa Kelab Rotary iaitu Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Rotary Club of Likas Bay dengan kerjasama penaja utama The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek bekalan air graviti kepada kampung-kampung terpencil dan telah dimulakan sejak tahun 2019.


“Setakat ini kami telah melaksanakan 38 projek di seluruh Daerah di Sabah sejak tahun 2019 dan kebanyakan projek ini dilaksanakan di Daerah Ranau. Hasil daripada pelaksanaan projek kemasyarakan ini lebih 3,700 keluarga dan lebih 16,000 penduduk telah mendapat menafaat.


“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kerana kita mempunyai penaja yang komited iaitu The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter Day Saints, sehingga kita dapat merealisasikan impian kita untuk memberi sumbangan kepada rakyat.


“Kita juga amat teruja dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung untuk sama-sama bergotong royong sehingga selesai projek bekalan air graviti ini. Projek ini milik anda dan harapan kami anda menjaganya dengan baik,” katanya.


Dalam pada itu, Elder Brad dari Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints memberitahu mereka mendapat sumbangan dana daripada ahli Gereja di seluruh dunia dan sebahagian sumbangan tersebut diberikan kembali kepada masyarakat untuk kesejahteraan rakyat.


Turut Hadir, Wakil Pegawai Daerah Ranau, Jefreson Solingkin, PPM Hishamudin Harun, Past President Rotary Club KK Pearl, Datuk Suzanna Liaw, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN