Wakil keluarga bersama Datuk Jonathan (lima kiri) dan yang lain memotong kek Hari Keluarga Tagal Kg.Togop Darat Ranau.
RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menyeru penduduk luar bandar supaya berusaha menjadikan sistem Tagal sebagai sumber ekonomi bagi menambah pendapatan.
Menurutnya, usaha mewujudkan Tagal dengan sempurna boleh menjana pendapatan sekali gus mengekalkan eko sistem sungai agar kekal terus terpelihara.
“Penjagaan hidupan air sungai perlu kita kekalkan terpelihara dan menjaga dpd tercemar atau musnah daripada penggunaan bahan terlarang seperti racun atau bahan letupan”, tegas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Keluarga Tagal Kg.Togop Darat terletak 48 kilometer dari pekan Ranau baru-baru ini.
Jonathan menyarankan kepada penduduk agar sentiasa bekerjasama dan bersatu hati bagi melaksanakan apa juga aktiviti atau program yang difikirkan boleh mendatangkan faedah kepada komuniti.
Terdahulu Pengerusi Tagal Kg.Togop Darat, Thomas Yohanes dalam ucapannya mewakili penduduk merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Jonathan bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Keluarga Tagal Kg.Togop Darat 2025.
“Kehadiran DatukJonathan ke majlis ini memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk terus mengusahakan Tagal bagi menjana pendapatan”, jelas Thomas sambil memaklumkan hasil tangkapan ikan tagal bagi tahun ini agak meningkat 370 kilogram berbanding 200 kilogram pada tahun 2024.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Pengerusi Tagal Sabah, Bernedete Joseph, Pengerusi Tagal Ranau, Nurhayati Robert, Pegawai Perikanan Ranau, Ramli Rauman dan Ketua Kampung Kg.Togop Darat, KK.Linggasu Berayang bersama lebih 200 penduduk.



