BINCANG ..Sapdin (tengah),Pg Jafar, Ahmadshah dan AJK Pesta Ambuyat yang hadir di majlis itu.
KOTA KINABALU: Pesta Ambuyat dan Pertandingan Zapin Brunei 2025 anjuran Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Pusat akan diadakan di Dewan Kesenian Islam Pekan Membakut pada 22 Jun depan.
Pengerusi Pelaksana Pesta itu, Datuk Haji Sapdin Ibrahim berkata pesta kali kedua anjuran bersama dengan Yayasan Dangsanak Sabah ( YDS) dan agensi kerajaan negeri itu akan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif yang juga Presiden PMBS bermula dari pagi hingga ke petang.
” Kita sedang mengatur pelbagai acara sampingan semasa pesta itu,” kata Sapdin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) YDS semasa mempengerusikan mesyuarat kedua AJK Pesta itu di Ibu Pejabat PMBS di Kingfisher Plaza Likas pagi tadi.
Menurut Sapdin selain menyediakan gerai-gerai produk masyarakat Brunei tempatan, terdapat 10 gerai untuk mempamer dan menjual produk dari negara jiran Brunei Darussalam juga akan diadakan.
” Pesta tahunan ini akan memberikan peluang kepada cawangan-cawangan PMBS dari seluruh Sabah membawa dan menjual hasil produk untuk menambahkan ekonomi mereka,” katanya.

BINCANG ..Sapdin (tengah),Pg Jafar, Ahmadshah dan AJK Pesta Ambuyat yang hadir di majlis itu.
Beliau berkata seramai 100 pelajar cemerlang anak-anak masyarakat Brunei terutama anak-anak ahli PMBS dari seluruh cawangan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM) akan menerima penghargaan dan pengiktirafan dari YDS di Pesta itu nanti.
” Kita akan sampaikan hadiah wang tunai antara RM 300 hingga RM500 seorang dan sijil penghargaan kepada para pelajar cemerlang ini, ” katanya sambil menambah ianya sebagai pembakar semangat kepada para pelajar lain untuk mencontohinya.
Beliau meminta ketua-ketua cawangan untuk menyenaraikan anak-anak ahli mereka yang cemerlang untuk disenaraipendekkan dan dihantar kepada Setiausaha Agung persatuan, Norhassan Hj Ismail yang akan dinilai oleh satu jawatankuasa penilai.
Sementara itu lebih 20 cawangan PMBS dijangka mengambil bahagian dalam Pertandingan Pesta Ambuyat dalam pelbagai kategori antaranya Pertandingan Menumpah Ambuyat, Cecah Ternyaman dll yang akan menawarkan pelbagai hadiah lumayan.
Cawangan- Cawangan PMBS seluruh negeri yang ingin mengambil bahagian boleh mendapatkan borang penyertaan yang akan diedarkan oleh Biro Wanita PMBS melalui ketua-ketua cawangan dalam masa terdekat.

UNTUK KENANGAN….Sebahagian AJK merakam kenangan selepas mesyuarat berakhir.
Mengenai Pertandingan Zapin Brunei, pihak penganjur kali ini akan membuka kepada semua cawangan yang berminat.
“Kalau tahun lalu kita hanya adakan untuk Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah, kali ini kita akan buka kepada semua kumpulan yang berminat,” kata Pengerusi Pelaksananya, Haji Ahmad Osman.
” AJK Penganjur akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan jenis zapin yang akan dipertandingkan dan syarat-syaratnya,” tambahnya.
Beliau berkata Pertandingan Zapin Brunei ini bertujuan untuk mengekalkan budaya masyarakat Brunei di negeri ini.
Turut hadir pada mesyuarat itu Naib Presiden 1 PMBS, Hj Pengiran Jafar Pengiran Hj Osman, Naib Presiden 2, Datuk Haji Ahmadshah Talip, Setiausaha Agung, Norhassan Hj Ismail, Ketua Penerangan, Hj Mohd Amin Hj Muin, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat, AJK YDS, Dr Ag Faisal Hj Ag Rahim,Wakil Pegawai Daerah Membakut, Encik Rosli Ismail dan wakil dari SR Event.



