ADVERTISEMENTspot_img

Tema Kaamatan Untuk Semua adalah tepat pada masanya: James

James (tengah) menerima cenderamata daripada penganjur



KOTA KINABALU: Tema sambutan Kaamatan tahun ini “Kaamatan Untuk Semua” adalah satu tema yang sangat bertepatan dengan hasrat untuk memupuk semangat keterangkuman, keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah dan seluruh Malaysia.

Demikian dinyatakan Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Merangkap Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) 2025-2028, Datuk James Ratib.

Menurutnya, “Kaamatan Untuk Semua” memberi mesej yang jelas bahawa pesta menuai ini bukanlah milik satu kaum sahaja, tetapi milik semua rakyat yang menghargai nilai kemasyarakatan, saling hormat-menghormati dan rasa syukur terhadap rezeki dan hasil bumi.

“Kaamatan menyatukan kita dalam semangat gotong-royong, kesyukuran dan kekeluargaan, tidak kira bangsa, agama atau latar belakang.

“Ia adalah warisan hidup yang menjadikan kita lebih mengenal budaya sendiri, sambil turut menghormati budaya orang lain,” katanya.

James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan majlis Sodop Unduk Ngadau & Sugandoi Final Kaamatan KDCA Kapayan Jetama 2025 yang diadakan di sini pada Jumaat.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur, terutamanya KDCA Kapayan dan pihak JETAMA Sdn Bhd, atas kejayaan menganjurkan sambutan Kaamatan yang begitu meriah dan bermakna tahun ini.

“Lebih istimewa, saya ingin menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Jetama, yang telah mencatat sejarah sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menaja sepenuhnya sambutan Kaamatan peringkat cawangan KDCA dan juga peringkat daerah.

“Inisiatif berani dan progresif ini wajar dijadikan contoh kepada syarikat-syarikat lain dalam usaha memelihara, memperkasa dan meraikan warisan budaya tempatan,” katanya.

Tambahnya, sokongan padu Jetama ini bukan sahaja membuktikan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi juga memperlihatkan bagaimana sektor korporat boleh menjadi rakan strategik yang penting dalam memperkukuhkan identiti budaya dan perpaduan rakyat.

“Saya percaya, sambutan malam gala seperti ini memberi ruang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk terus mengenal, menghargai dan menghidupkan semula tradisi nenek moyang kita – daripada tarian Sumazau, irama gong, pakaian tradisional, sehinggalah ke makanan warisan.

“Lebih daripada itu, program seperti ini juga memainkan peranan penting dalam memperkuat perpaduan komuniti tempatan, menggalakkan semangat sukarelawan dan memperkasakan ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan dan penggiat seni budaya tempatan.

“Kejayaan majlis pada malam ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan luar biasa daripada Jetama. Keprihatinan mereka terhadap kepentingan budaya dan semangat komuniti patut dipuji, dan saya berharap langkah ini akan membuka jalan kepada lebih banyak kolaborasi antara GLC, sektor swasta dan komuniti akar umbi,” katanya.

James menambah bahawa Kementeriannya sentiasa menyokong usaha yang menjunjung tinggi nilai budaya, perpaduan dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, kekuatan sebagai sebuah negara terletak pada kepelbagaian yang diraikan dan perpaduan yang dikekalkan.

“Saya berharap, selepas malam ini, semangat “Kaamatan Untuk Semua” akan terus menyala dan dibawa ke seluruh kampung, daerah dan negeri – agar warisan budaya ini terus hidup, dan nilai kebersamaan terus subur dalam sanubari kita semua,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengerusi SD Berhad Datuk Frankie Poon Ming Fung, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Leonard Poyong, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah Datuk Thomas Logijin, Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd Datuk Yussof Abd Manan JP, Liau Fui Fui (Chairman of Jetama Water Sdn Bhd), Dato Jackson Lee (ABNT Sdn Bhd), Dato’ Juhari Bin Janan (Deputy Chairman of Jetama Water Sdn Bhd), Datuk Ahmad Naim Bin Uddang (CEO of Jetama Sdn Bhd), Dr. Christopher Mandut (Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah), Ts Jude Abel Logijin (General Manager of Jetama Water Sdn Bhd yang juga merupakan pengerusi Penganjur Kaamatan KDCA Kapayan Jetama dan lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN