ADVERTISEMENTspot_img

Pandang serius aspek membangunkan modal insan: Hajiji

James (kiri) menerima cenderahati disampaikan Ketua Pengarah AADK

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius usaha membangunkan modal insan sebagai aset dalam membina masa depan negara, agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, melihat betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan belia, kerajaan negeri Sabah terus komited menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah.


“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang menyeluruh.


“Antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI); Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA); Subsidi Tiket Penerbangan (GRS-SUBFLY); dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).


“Manakala dana untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS telah ditingkatkan daripada RM51 juta kepada RM128 juta bagi tahun ini, memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi,” katanya.


Menurutnya, semua inisiatif ini bertujuan untuk memastikan tiada anak Sabah yang ketinggalan dalam mengejar cita-cita mereka hanya kerana kekangan kewangan.


“Kita mahu melahirkan generasi belia yang berilmu, berkemahiran, dan berdaya saing di peringkat negeri, negara, dan antarabangsa.


“Kita mahu memastikan bahawa setiap anak muda di negeri ini diberikan peluang yang sama untuk meningkatkan potensi mereka.


“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk memberi sokongan penuh kepada semua program yang memperkasa golongan muda,” kata beliau.


Hajiji yang juga Pengerusi Mesyuarat Tindakan Membenteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Program Perintis Muda di Hati Ketua Menteri Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Al-Bukhari Ujana Sarjana, Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah pad ahari Rabu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan, Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib yang turut mewakili beliau dalam majlis tersebut.


Beliau mengucapkan tahniah kepada Majlis Belia Sabah (MBS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah atas inisiatif mengumpulkan para belia dalam program itu.


“Hari ini kita berkumpul untuk memperkukuhkan tekad kita dalam melahirkan masyarakat yang sihat, bebas daripada gejala sosial, seterusnya membina negeri Sabah yang maju, aman dan sejahtera.


“Ini kerana belia merupakan tunjang kepada pembangunan negeri, bukan hanya dalam aspek ekonomi, malah juga dalam pembinaan masyarakat madani, pengukuhan integrasi sosial, dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.


“Usaha membanteras penyalahgunaan dadah juga berkait rapat dengan agenda pembangunan belia yang holistic,” katanya.


Justeru, beliau berkata, Program Perintis Muda yang digerakkan oleh MBS adalah satu inisiatif strategik untuk melatih barisan belia muda dengan kemahiran kepimpinan, pengurusan projek, penyelesaian masalah komuniti, serta memperkasa semangat patriotisme dan kenegaraan.


Melalui program ini, katanya, belia dilatih bukan hanya untuk menjadi pemimpin masa depan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi di kawasan mereka masing-masing.


“Saya percaya, melalui program seperti ini, kita sedang membina satu ekosistem belia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kerjaya, malah matang dari segi kepimpinan sosial,” katanya.


Tambah Hajiji lagi, Sabah kini berada di ambang sebuah transformasi besar.


“Kita sedang bekerja keras untuk memastikan bahawa negeri kita akan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang- baik ekonomi, sosial, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur,” katanya.


Akan tetapi, beliau memberitahu bahawa untuk mencapai matlamat Sabah Maju Jaya, kita memerlukan tenaga, idea, dan semangat daripada golongan muda khususnya di Sabah hari ini.


“Anak-anak muda dan belia adalah harapan masa depan Sabah dan mempunyai peranan yang amat penting dalam perjalanan kita untuk memastikan Sabah tidak hanya terus berkembang, tetapi juga mencapai kecemerlangan yang setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.


“Harapan saya agar anak-anak muda terus memberi sokongan penuh kepada agenda kerajaan dalam memastikan Sabah menjadi negeri yang maju, sejahtera, dan berdaya saing.


“Saya yakin bahawa anak-anak muda adalah pemimpin yang tidak hanya cerdas, tetapi juga berkarakter dan berintegriti,” katanya.


Mengenai program itu, katanya, adalah menjadi harapan beliau kepada Perintis Muda, adalah agar mereka terus berperanan aktif dalam meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesukarelaan dalam pembangunan sosial.


Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri yakin bahawa dengan sokongan belia, ia dapat melahirkan sebuah masyarakat yang lebih bertanggungjawab, bersatu, dan berdaya saing.


“Saya juga menyeru kepada anak-anak muda agar memberikan komitmen tidak berbelah bagi dalam membantu Kerajaan Negeri membanteras ancaman dadah seterusnya merealisasikan matlamat institusi bebas dadah.


“Semoga usaha kita bersama ini dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat dan negeri Sabah, serta melahirkan generasi muda yang lebih bijak, lebih sihat, dan lebih bertanggungjawab.


“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan negeri Sabah bebas daripada penyalahgunaan dadah. Usaha ini memerlukan kerjasama dan komitmen berterusan dari semua pihak.


“Saya mengajak semua anak-anak muda dan belia untuk terus memberi sokongan serta dokongan kepada saya dan rakan-rakan dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan Makmur,” katanya.


Hajiji berkata, sokongan rakyat khususnya anak muda kepada kerajaan amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terjamin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN