ADVERTISEMENTspot_img

Peningkatan kes keganasan rumah tangga di Sabah amat membimbangkan: James

Pengarah JHEWA, Haslinah menyampaikan cenderahati kepada James


KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah kes keganasan rumah tangga di negeri ini sudah sampai pada tahap yang amat membimbangkan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat & Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) Datuk James Bin Ratib.


“Isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak seringkali menjadi fokus utama kerana ia melangkaui batas sempadan, agama, bangsa serta budaya. Masalah keganasan ini meliputi masalah global yang mana turut dihadapi di seluruh negara.


“Bagi Negeri Sabah, berdasarkan laporan dari D11, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah PDRM – mencatatkan peningkatan dalam kes keganasan rumah tangga.


“Pada tahun 2022, 382 kes telah dicatatkan di seluruh Negeri Sabah dan ini meningkat pada tahun 2023 kepada 435 kes. Pada tahun ini sahaja sehingga Februari 2024, sebanyak 107 kes telahpun dilaporkan,” katanya.


Justeru, beliau menyeru agar semua pihak berkaitan terutama Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah melaksanakan lebih banyak program kesedaran bagi memberi pendedahan kepada rakyat berkenaan isu keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.


“Ini kerana implikasi atau kesan keganasan kepada mangsa amat berat sekali baik dari aspek fizikal mahupun mental mereka,” katanya.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa Perasmian Penutupan Program Kesejahteraan Mendepani Keganasan Rumahtangga, Sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang diadakan di SICC pada Isnin.


“Seperti yang dikatakan oleh Pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail, Program Kesedaran Menangani Keganasan Terhadap Wanita telah dimasukkan dalam Program Flagship Kementerian melalui JHEWA iaitu “Outreach Santuni Wanita”.


“Program ini merupakan inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju kementerian saya bagi tahun 2021 hingga 2025 dibawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Sehingga tahun ini, program Outreach Santuni Wanita telah diadakan di 55 kawasan dun dengan lebih 4,900 penyertaan peserta telahpun dilaksanakan,” katanya.


Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada JHEWA kerana telah berada di landasan yang betul dalam meningkatkan lagi usaha untuk mencapai sasaran walaupun selepas flagship itu berakhir.


Beliau turut memuji inisiatif bantuan melalui khidmat nasihat, yang turut melibatkan bantuan panel peguam dan panel kaunselor, di mana setakat ini, JHEWA mempunyai lebih dari 16 panel peguam serta tujuh panel kaunselor berdaftar di bawah mereka.


“Ini merupakan langkah yang baik kerana masyarakat perlu tahu kemana mereka hendak pergi sekiranya ingin mendapatkan perkhidmatan sokongan dan perlindungan.


“Pada masa kini keganasan bukan sahaja berbentuk kekerasan. Definasi ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita turut dikira sebagai keganasan dalam bentuk penderaan psikologi dan emosi.


“Manakala, sekiranya seorang wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar, ia boleh dikategorikan sebagai penderaan sosial,” katanya.


Tambah James, hadirnya panel peguam dan kaunselor JHEWA ini adalah bagi membantu masyarakat dari segenap aspek yang berkaitan agar nasib golongan berkenaan terbela sebaik mungkin.


Sementara itu, katanya, pada tahun ini, Kerajaan melalui JHEWA telahpun menyalurkan sebanyak 32 geran aktiviti yang bernilai RM160,000 yang disalurkan kepada NGOs terpilih di bawah JHEWA.


Pada dasarnya, geran tersebut akan digunakan oleh ngos dalam penganjuran program pembangunan dan pemerkasaan wanita kepada golongan sasar iaitu wanita atau ibu tunggal serta B40.


Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak Haslina kerana penganjuran ini adalah bertepatan bersempena hari menangani keganasan terhadap wanita.


“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kepada wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, barisan peguam dan kaunselor, wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta semua yang menyokong usaha menangani keganasan terhadap wanita,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN