Adnan (duduk tengah) bersama Mukram (ketiga dari kanan) dan pemimpin KGKS merakamkan gambar kenangan dengan ahli-ahli KGKS yang hadir.
TENOM: Penjawat awam persekutuan disaran agar menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Dato’ Dr Haji Adnan Mat berkata, ini kerana antara keistimewaan SSPA ini adalah kenaikkan gaji para penjawat awam serta beberapa penambahbaikan insentif baharu dalam menjaga kebajikan para penjawat awam persekutuan.
Katanya, bagi CUEPACS opsyen ini adalah jelas untuk kenaikkan gaji penjawat awam.
“Justeru itu kita nak semua penjawat awan menandatangani opsyen ini” katanya kepada media sempena Ceramah Perdana Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) Cawangan Tenom bersama CUEPACS dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja JHEKS di SJKC Tsi Sin di sini pada Sabtu.
Sehubungan dengan ini katanya, CUEPACS kini menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini bagi menerangkan lebih mendalam mengenai (SSPA) kepada penjawat awam pelbagai agensi persekutuan yang ada di negeri ini dengan ‘tagline’ “sign jangan tidak sign”.
Ini katanya, mungkin ada kekeliruan dan tafsiran yang berbeza dikalangan penjawat awam mengenai surat pekeliling bilangan 1/2024 yang telah dikeluarkan berkaitan SSPA.
“Opsyen atau cadangan adalah penambahbaikan pada masa akan datang, kami sedia menerima malah kami sedia bawa kepada kerajaan kerana kami juga tahu bahawa SSPA ini bukanlah suatu yang muktamad sebaliknya dia boleh berubah secara berfasa dari pandangan dan cadangan pihak Kesatuan dan seluruh anggota perkhidmatan awam supaya kita boleh mampu membuat penambahbaikan kepada yan keg lebih baik demi kebajikan anggota sektor awam” jelasnya.
“Justeru itulah kami membuat jelajah untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada seluruh penjawat awam di negeri ini dan negara keseluruhannya.
Menjawab soalan lain, Adnan berkata,
CUEPACS menyambut baik belanjawan 2025 yang diumumkan perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada jumaat lepas kerana tidak melupakan kebajikan para penjawat awam.
Katanya, antaranya adalah sejumlah RM 1.8 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
“Inilah suatu yang kami tunggu kerana kuarters yang ada hari ini ada kedaifan menyebabkan telah kosong begitu lama, harapan kami ialah kuarters-kuarters ini tidak tidak lagi dibiarkan kosong dan perlu dibaiki semula supaya ia boleh didiami oleh penjawat awam” katanya.
Dan katanya lagi, kalau ia sudah dibaiki jangan lagi dibiarkan kosong kerana jika kuarters-kuarters tidak didiami ia akan menjadi usang dan akhirnya rosak.
Dalam pada itu katanya, CUEPACS mencadangkan kepada kerajaan agar kuaters-kuarters ini dapat digunasama oleh pelbagai kementerian dengan tidak menjurus kepada satu kementerian sahaja khususnya di kawasan luar bandar agar kuarters ini tidak dibiarkan begitu sehingga usang selain dapat menjimatkan duit kerajaan.
Pada masa sama Adnan berkata, mewakili suara penjawat awam CUEPACS turut merakamkan penghargaan kerajaan atas bantuan khas RM500 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah dan lantikan kontrak termasuk semua pesara kerajaan veteran berpencen akan menerima sebanyak RM 250 yang akan disalurkan pada Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, CUEPACS memohon kerajaan menyemak semula kadar bayaran Insentif Wilayah bagi penjawat awam persekutuan yang di Sarawak dan Sabah diseragamkan dengan penjawat awam di Semenanjung.
Terdahulu Adnan menyampaikan ceramah perdana “Sumbangan Kesatuan Dalam Perkhidmatan Pendidikanp Kupasan SSPA”.
Turut disampaikan ceramah “Kepentingan Berkesatuan” oleh wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
Hadir sama Presiden KGKS Negeri Sabah Mukram Haji Hussein, Pengetua -Pengetua dan Guru-Guru Besar pemimpin-pemimpin KGKS.
Pada majlis itu Adnan menyampaikan sijil penghargaan kepada sekolah 100 peratus keahlian KGKS dan kepada ahli KGKS terdiri daripada guru yang telah bersara.



