ADVERTISEMENTspot_img

Dua buah KAFA Labuan terima bantuan MAIWP berjumlah RM17,000

SERAH…. Ustaz Md. Fadzli (dua kanan) menyerahkan bantuan kewangan kepada  wakil KAFA Masjid Jamek Adam Kampung Lajau, Mohd Noor.

LABUAN: Dua buah Kelas  Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sini menerima bantuan  berupa kewangan  berjumlah RM17,000 sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Dua buah KAFA yang menerima bantuan  di bawah Skim Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan (Institusi Pendidikan) itu  ialah KAFA Perumahan LDA Kampung Sungai Bedaun  menerima    sebanyak RM10,000 dan KAFA Masjid Jamek Adam Kampung Lajau menerima  RM7,000.

Majlis penyerahan  secara simbolik bantuan tersebut disampaikan oleh Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad masing masing kepada Ketua Guru KAFA Perumahan LDA Labuan, Puan Nur Izzah Nasrullah. Manakala KAFA Masjid  Jamek Adam  Kampung Lajau diwakili oleh  Penyelianya,  Mohd Noor Mukadim.

Ustaz Md Fadzli ketika ditemui media  berkata,  bantuan tersebut  bertujuan untuk membantu pembelian  peralatan kelengkapan tambahan  kelas yang tidak mencukupi seperti papan putih, kerusi, meja termasuk penggantian kelengkapan kelas yang telah uzur atau rosak.

“Semoga dengan bantuan ini dapat memudahkan dan memberi menfaat serta keselesaan  kepada pelajar KAFA Taman Perumahan LDA dan juga KAFA Masjid Adam Kampung Lajau secara berterusan “katanya.

MAIWP juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar zakat yang sentiasa membayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.

Sementara itu,  Ustaz Md Fadzli menjelaskan, Kelas KAFA Perumahan LDA Kampung Sungai Bedaun mempunyai 75 orang murid dan 2 orang guru manakala kelas KAFA Masjid Adam Kampung Lajau mempunyai 73 orang murid dan 3 orang guru.

Turut hadir,   pegawai  Cawangan Pelajaran Jabatan Agama  Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Us. Radzizam Awang Damit.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN