PERALATAN…. pukat trenitt yang berjaya dirampas oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan, pada pagi Rabu.
LABUAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mengagalkan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat ‘Trinett’ oleh sekumpulan nelayan di kawasan laut Weston dan Sipitang kira kira jam 8 pagi pada Rabu.
Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Persekutuan Labuan, Inspektor Shafiq Rezza berkata, pihaknya telah mengesan beberapa bot nelayan yang sedang aktif melakukan aktiviti menangkap hasil laut mengunakan pukat Trinett ketika sedang melakukan rondaan Ops Benteng COVID 19 di kawasan berkenaan.
“Sebaik menyedari kehadiran polis nelayan berkenaan telah bertindak meninggalkan kawasan tersebut dengan memecut bot mereka ke kawasan cetek untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun hasil daripada pemeriksaan lanjut polis marin telah berjaya merampas satu unit pukat ‘Trinett’ bersama kayu pemberat yang ditinggalkan di kawasan berkenaan. Peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,400”|katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Shafiq berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sipitang dan barangan rampasan telah diserahkan kepada pegawai Jabatan Perikanan Sipitang untuk tindakan lanjut.
Jelas Shafiq lagi, penggunaan pukat Trinett untuk aktiviti nelayan adalah satu kesalahan dan melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985 kerana pukat Trinett adalah dilarang dan tidak dilesenkan sebagai peralatan menangkap hasil laut oleh pihak Jabatan Perikanan.



