27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

99 Pengusaha Mikro dan Cottage di Kiulu terima bantuan

Penerima geran bantuan: Justina (kiri) dan Nora (kanan)

TAMPARULI – Seramai 99 orang pengusaha Mikro dan Cottage yang beroperasi di kawasan Kiulu sudah mampu menarik nafas lega dengan adanya bantuan geran sebanyak RM1,000.00 daripada Kerajaan Negeri Sabah yang disalurkan melalui bantuan geran usahawan mikro Sabah New Deal (SND) 2020.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau selaku Menteri Caretaker Kementerian Perdagangan & Perindustrian (MTI) berkata sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu usahawan mikro dan cottage luar bandar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di bawah pakej ransangan dalam SND 2020.

“Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin kepada masalah, beban dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat ekoran penularan wabak COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi dengan adanya bantuan geran ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu peniaga memiliki modal pusingan serta menampung perbelanjaan harian,” katanya dalam ucapan semasa menyempurnakan Program Mini Pameran Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Majlis Penyerahan Bantuan Geran Mikro dan Cottage Sabah Fasa 1 di bawah SND 2020 bagi kawasan Kiulu, di Auditorium Seventh-Day Adventist, di sini, hari ini.

Madius berkata, bantuan itu dikendalikan di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan (DIDR) dan permohonannya boleh dibuat secara atas talian.

“Kita telah menerima permohonan yang sangat memberansangkan iaitu jauh melebihi 20,000 pemohon yang mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan geran tersebut,” katanya.

Selain daripada kawasan Kiulu, sebanyak 103 permohonan telah diluluskan untuk para pengusaha Mikro dan “Cottage” di daerah Ranau, 62 untuk daerah kecil Tamparuli dan sebanyak 144 permohonan untuk daerah Tuaran.

Dalam pada itu, Madius berkata bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah mengumumkan dan melaksanakan fasa kedua Pakej Ransangan di bawah SND pada 18 Jun yang lalu bernilai RM240 juta.

“Pakej ransangan ini bertujuan khusus untuk mengaktifkan semula, memulih dan menyuburkan kembali sektor-sektor ekonomi negeri yang telah terjejas, termasuk menjadikan Sabah lebih berdaya saing dalam era digital.

“Jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan untuk bantuan COVID-19 di bawah fasa satu dan fasa dua Sabah New Deal ialah RM910 juta,” katanya.

Peruntukan itu merupakan kesinambungan daripada Pakej Bantuan Covid-19 yang berjumlah RM670 juta yang diumumkan pada 25 Mac lalu.

Manakala, bagi Justina Gintin, 33, penjaja buah-buahan tempatan yang berniaga di pasar gantung di Kota Kinabalu pemberian geran bantuan ini memberi ruang harapan buat mereka sekeluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya berniaga untuk menjana pendapatan keluarga dan sejak pandemik, perniagaan saya terjejas. Saya dapat tahu yang kerajaan negeri ada memberi bantuan, jadi saya isi borang melalui talian bulan Ogos lalu dan syukur permohonan saya diluluskan,” katanya.

Bagi Nora Maguntal, 52, pengusaha kraftangan tempatan yang berasal dari Pekan Nabalu, walaupun semua ahli keluarga beliau bekerja namun situasi semasa dan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan beliau sekeluarga turut terkesan.

“Pengusaha kecil seperti saya amat memerlukan bantuan ini. Impak Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan terjejas. Bantuan geran ini bukan sahaja membantu saya meneruskan perniagaan malah untuk kelangsungan kehidupan saya sekeluarga,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN