SUPT. AHMAD ketika ditemui media, pagi ini.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Kira-kira 95 peratus masyarakat yang terlibat di lapan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Ahmad Jawila, berkata sehingga semalam, pematuhan di kawasan-kawasan terlibat PKPD Bersasar menunjukkan peningkatan.
“Ini sebagai satu tanda yang baik bahawa masyarakat di Labuan ini mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dari masa ke masa.
“Kita harap prestasi ini dikekalkan supaya kita boleh menjadi contoh kepada masyarakat di tempat lain bahawa Labuan bersatu dalam mencegah penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan (KML), pagi tadi.
Beliau berkata, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan juga telah menghebahkan kawasan-kawasan yang terlibat dengan Sekatan Jalan Raya (SJR) di pulau itu dan tidak timbul isu masyarakat tidak mengetahui mengenainya.
TERKAWAL…. sebagaian penduduk kampung berbaris sebelum masuk ke PPV KML, pagi ini.
Sementara itu, Pengerusi JPBD Labuan, Rithuan Ismail, berkata pada hari ini dijangka 1000 warga kampung akan menerima vaksin di PPV –KML.
“Kita telah meminta Ketua-Ketua Kampung membagi kupon lebih awal supaya mereka datang ikut masa dan tarikh ditetapkan, tidak perlu berpusu-pusu|, katanya.
Beliau berkata PPV-KML hanya membuka kaunter untuk ‘walk in’ selepas jam 1 tengahari tertakluk kepada baki vaksin yang tinggal dan PPV KML dihadkan sekitar 1200 hingga 1300 orang penerima vaksin sehari berdasarkan kemampuan petugas kesihatan di sini.
Sejak beberapa hari lalu PPV KML dilaporkan agak sesak terutamanya pada awal pagi dan JPBD bersama agensi-agensi di bawahnya serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan membuat pelbagai penambahbaikan bagi mengurangkan kesesakan serta mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di kawasan itu.