Ahli keluarga waris DHF bergambar kenangan sempena Hari Keluarga DHF.
LABUAN: Lebih 70 waris daripada empat generasi keluarga Allahyarham Datuk Haji Fadzil Haji Asmad berkumpul sempena Program Hari Keluarga DHF.
Semua ahli keluarga yang terdiri daripada anak, cucu dan cicit berkumpul sehari suntuk di HMD Villa Kampung Lubok Temiang, pada Sabtu lalu.
Menurut Penasiht Program Hari Keluarga DHF, Roslan Nunsi, 65 cucu pertama kepada Allahyarham Datuk Haji Fadzil, program yang julung kalinya diadakan ini adalah bertujuan menyatukan semua waris disamping memperkukuhkan hubungan silaturahim keluarga besar Allahyarham Datuk Haji Fadzil tokoh pemimpin yang pernah berjasa dan dikenali ramai bukan di Labuan tetapi juga di negeri Sabah.
“Dengan adanya perjumpaan ini kami dapat bermesra antara generasi pertama sehinggalah ke generasi ke empat yang secara tidak langsung kami dapat bertukar tukar pandangan mengenai karier masing masing khususnya generasi baharu keluarga besar DHF” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya pertandingan Kilauan Emas yang melibatkan penyertaan generasi pertama iaitu anak anak Allahyarham DHF, Cabutan Bertuah, senam robik dan Sukaneka.
Untuk rekod Allahyarham Datuk Fadzil yang dilahirkan pada 15 Oktober 1906 merupakan seorang negarawan yang pernah berjuang untuk kemerdekaan Labuan di bawah kerajaan Sabah daripada British.

Genersi pertama (anak anak DHF) yang diraikan pada majlis tersebut.
Beliau juga merupakan salah seorang anggota perwakilan dalam Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 untuk mendapatkan Pungutan suara (referendum) penduduk Labuan bagi cadangan Kemerdekaan dan pembentukan Negara Malaysia.
Hasil sumbangan bakti kepada masyarakat beliau menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat negara dan negeri termasuk dianugerahkan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada tahun 2972.
Allahyarham Datuk Fadzil mempunyai sembilan orang anak hasil perkahwinan beliau dengan Allahyarhamah Datin Rosaminah Adul Latif.
Sembilan anak Allahyarham yang masih lagi bersama generasi keempat terdiri daripada Hajah Hamidah yang berusia 87 tahun, Hajah Jamilah, 86, Datin Hajah Azizah, 82, Kapten Rosli, 80, Ibrahim, 77, Haji Abdul Ghani, 76, Haji Saadun, 73, Hajah Mariah, 69 dan Haji Mohd Sidek,68 tahun.
Sementara itu Roslan Nunsi anak sulong kepada Hajah Jamilah menzahirkan rasa syukur kerana kesemua ahli keluarga dapat berkumpul dalam suasana yang lebih harmoni.
Beliau juga berterima kasih kepada Pengerusi Penganjur Hajah Fauziah Datuk Mohd Din iaitu anak sulong kepada Datin Azizah yang telah banyak memberi idea dan pandangan sehingga berjaya merealisasikan Hari Keluarga DHF.
Dalam pada itu, Fauziah Datuk Mohd Din ketika berucap pada majlis itu turut memberikan penghargaan kepada semua AJK Pelaksana yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.



